'Ketua Kampung Likas' bakal beraksi kali terakhir berdepan KDA FC


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Sebahagian sesi latihan akhir skuad Sabah FC menjelang aksi berdepan KDA FC dalam saingan Liga Super. — Facebook/Sabahfc

AKSI terakhir Liga Super antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Likas, Sabah pada Ahad bakal menjadi perlawanan terakhir kepada bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah sebagai pemain profesional.

Sabah FC dalam kenyataan pada Sabtu mengucapkan terima kasih kepada pemain yang mesra dengan gelaran ‘Wak Am’ dalam kalangan peminat tempatan atas kesetiaan serta bakti dicurahkan selama tiga musim bersama skuad Sang Badak bermula 2021.

Kenyataan itu memaklumkan pemain berusia 42 tahun itu amat disenangi serta dikagumi peminat bola sepak di Negeri di Bawah Bayu itu sehingga ada yang mengelar Mohd Amri sebagai ‘Ketua Kampung Likas’.

msg1050426791-20599

Amri Yahyah atau mesra dengan panggilan Wak Am bakal meninggalkan kem Sabah FC musim depan. Facebook/Sabahfc

"Sepanjang bermain bersama pasukan Sabah FC, Wak Am sentiasa menjadi role model kepada pemain lain atas komitmen dan kesungguhan apabila turun bermain. Di mana pun anda berada, anda tetap legenda di hati pencinta bola sepak Sabah dan Malaysia.

"Kepada semua penyokong Sabah FC, ayuh penuhkan Stadium Likas pada perlawanan esok sebagai tanda terima kasih serta malam perpisahan kita bersama legenda kita ini,” menurut kenyataan itu.

Perlawanan terakhir Liga Super itu penting buat Sabah yang berada di kedudukan keempat liga dengan 51 mata manakala KDA FC di tangga ketiga dengan 53 mata, yang mana kemenangan buat Sabah membolehkan pasukan itu memintas KDA FC.

Amri Yahyah memulakan karier bola sepak mewakili Selangor pada 2001. Selain Sabah, Wak Am pernah mewakili beberapa pasukan antaranya Melaka United, Sarawak United dan gergasi bola sepak negara Johor Darul Takzim (JDT). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram