DRAMA dalam saingan Liga Super masih belum tamat buat beberapa pasukan walaupun sudah tiba pada hari terakhir. Pada Ahad, Sabah FC dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan berdepan sesama sendiri dengan satu misi.
Misi tersebut adalah jelas, iaitu untuk meraih tempat ketiga dengan harapan dapat menutup musim dengan nota cemerlang.
Setakat ini, KDA mempunyai kelebihan apabila mendahului Sabah dengan dua mata di tempat ketiga. Dengan aksi akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, KDA mesti tidak kalah berdepan Sang Badak.
KDA mesti sekurang-kurangnya seri bagi memastikan penguasaan mereka di tempat ketiga kekal, jika berjaya menang itu adalah lebih baik buat mereka.
Tetapi seandainya tewas kepada Sabah, mereka akan dipintas dan turun ke tangga keempat dengan skuad Badak mempunyai kelebihan satu mata.
KDA cuma perlu seri menentang Sabah untuk sahkan tempat ketiga Liga Super. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Itu adalah mimpi ngeri yang menanti KDA jika mereka tidak beraksi baik pada perlawanan terakhir liga dan sudah pasti penyokong mereka enggan untuk mengalaminya.
Selepas gagal mendapatkan tempat ke Asia apabila tumbang kepada Selangor FC, pendukung Sang Kenari tidak mahu luka mereka bertambah parah apabila terlepas tempat ketiga liga.
Menjelang aksi getir tersebut, para penyokong KDA hanya mengharapkan satu mata berhasil dibawa pulang oleh skuad Nafuzi Zain ke Alor Setar.
"Buatlah lagu mana pun janji dapat satu mata," kata penyokong bernama Daniel Kincaid.
"Tak menang pun tak apa, janji boleh duduk nombor tiga," ujar Farizuan Abdullah pula.
"Seri sudah memadai, (kalau) menang lagi bagus," komen Herry Abdul Ghani mengharapkan yang paling minima buat KDA.
Penyokong KDA jelas terluka kerana tidak berjaya ke Asia musim depan. Oleh itu, mereka mengharapkan dapat memperoleh sesuatu yang dianggap sebagai 'manis-manis' di penghujung musim.
"Pulun Kedah pulun, bagilah rasa manis madu buat penyokong KDA untuk 2023," kata penyokong bernama Azwan Mat Rukun.
"Ingat para pemain, menang perlawanan ini ganjaran RM1.5 juta menanti," ujar Carinoso Jeffiro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram