Selangor dan 2 kelab Liga Super perlu dapatkan pemain 'level' ACL untuk kuatkan pertahanan


  • Podium
  • Ahad, 17 Dis 2023

Super (kanan) kini tidak mempunyai kelab selepas kontraknya dengan Lion City Sailors tamat. — Agensi

JENDELA perpindahan mungkin belum dibuka, namun pelbagai khabar angin telah pun muncul mengenai pemain atau jurulatih berpindah dari pasukan A ke pasukan B.

Dengan pelbagai nama melibatkan pemain tempatan dikhabarkan akan berpindah ke sana sini, tidak terkecuali buat bintang import sama ada yang sedia ada di Liga Super atau pertama kali cuba menjejak kaki ke Malaysia.

Sebagai contoh buat pertahanan Sepanyol bernama Manuel Herrera Lopez atau dikenali sebagai Super. Pertahanan tengah berusia 32 tahun itu baru saja meninggalkan gergasi Singapura, Lion City Sailors (LCS) selepas kontraknya tamat.

Kini tidak mempunyai kelab, Super mungkin boleh menghalakan pandangannya untuk menyeberangi tambak dan menyertai Liga Super. Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan bersesuaian yang boleh disertai olehnya:

1. Selangor FC

Lembah Klang boleh menjadi destinasi untuk Super mendarat. Lebih tepat lagi adalah dengan menyertai Gergasi Merah.

Super boleh diangkat sebagai pengganti Yazan Al-Arab walaupun Selangor sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan pertahanan Uzbekistan iaitu Umarbek Eshmurodov.

Pemain dari Sepanyol itu boleh menjadi penyelesaian dua dalam satu buat Selangor. Selain boleh beraksi sebagai pertahanan tengah, Super mampu bermain di posisi pertahanan kanan dengan baik.

Memandangkan Selangor juga sedang mencari pertahanan kanan, mungkin Super adalah jalan penyelesaiannya. Ditambah dengan pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara AFC bersama LCS, ia akan membantu Selangor menguatkan cabaran mereka di Asia.

399826781_10232987788420764_8686094713133895691_n

Super (kanan) beraksi cemerlang ketika LCS menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors dalam perlawanan ACL. — Agensi

2. Sabah FC

Jika tidak mahu ke Lembah Klang, Super boleh melebarkan sayapnya ke Borneo dengan menyertai Sabah.

Sabah kini terperangkap dengan potensi akan kehilangan ramai pemain terutamanya di bahagian pertahanan boleh menjadikan Super sebagai pengganti. Malah, dia mungkin boleh menjadi pengganti yang mantap untuk skuad Badak.

Ditambah dengan Sabah masih lagi terlibat dengan Piala AFC pada 2024 kerana format kejohanan adalah bersifat merentasi tahun (cross-year), Super boleh membantu skuad Badak untuk mara sejauh mungkin dan memenangkan mereka trofi tersebut.

Kekentalan Super amat ditagih jika Sabah serius untuk menjadi johan Piala AFC sekali gus dapat membawa Sabah ke saingan saringan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/2025.

385321146_10232774452567501_5336429076682688608_n

Pengalaman beraksi di Asia boleh bantu Super cemerlang di Selangor. — Agensi

3. Kedah Darul Aman FC

Selain itu, Super boleh meneroka peluang beraksi di Utara Malaysia dengan menyertai KDA sebagai salah seorang pemain import kelab tersebut.

Dengan perginya Rodney Celvin, ia membuka ruang untuk KDA mengisi kekosongan tersebut dan Super boleh menjadi penyelesaian kepada masalah pertahanan Sang Kenari.

Kehadiran Super akan menjadi rekrut berprofil tinggi dalam kalangan pemain import milik KDA terutamanya melibatkan bintang dari Eropah.

401162146_10232987788380763_5188778200444994122_n

Super boleh membantu masalah pertahanan KDA. — Agensi

Sebelum ini, Sang Kenari pernah mempunyai pemain antarabangsa Andorra, Marc Vales yang aktif beraksi dalam saingan UEFA Nations League buat negara ketika mewakili KDA.

Ke mana saja Super pergi baik Selangor, Sabah atau KDA, kehadirannya pasti menjadi sebuah kenyataan berani oleh pasukan tersebut yang mereka mahu bersaing serius merebut kejuaraan musim depan.

Super ketika ini berstatus tiada kelab atau free agent, jadi siapa yang mendapatkannya akan beroleh pemain berkualiti secara percuma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram