Terlepas tempat ketiga, ramai kecewa pertahanan Sang Kenari terlalu mudah berikan Sabah gol


  • Podium
  • Ahad, 17 Dis 2023

Bojan Ciger terpaksa bekerja keras untuk pertahankan pintu gol Sang Kenari. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

LUKA semakin berdarah buat Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mereka gagal mempertahankan kedudukan ketiga mereka dalam Liga Super.

Selepas gagal layak ke Asia musim depan dalam perebutan bersama-sama Selangor FC, Sang Kenari terlepas tempat ketiga dari genggaman apabila tumbang kepada Sabah FC dalam aksi terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

KDA yang hanya perlu seri gagal memberikan persembahan dimahukan apabila Sabah dengan mudah berjaya menang 2-0 ke atas Sang Kenari menerusi jaringan Irfan Fazail dan Ramon Machado.

Gol awal yang terhasil menerusi Irfan serta penyudah separuh masa pertama oleh Machado menunjukkan betapa longlainya pertahanan KDA dalam usaha menyerap asakan Sabah.

Disebabkan ketinggalan dua gol pada 45 minit pertama, tugas KDA mencari gol semakin sukar ditambah dengan barisan serangan diketuai oleh Ifedayo Olusegun tidak berfungsi dengan baik.

Longlainya pertahanan tengah yang diterajui oleh Bojan Ciger serta Loqman Hakim nyata mengecewakan para pendukung Sang Kenari.

"Loqman dan Ciger ceroi, tak ngam," kata penyokong bernama Muhd Amzar.

"Masukkan Akmal Zahir, pertahanan macam main dua orang saja," komen Muhammad Amrie Rabb.

"Ciger jenuh nak cover (bahagian pertahanan), habis kawan tu," kritik Mirage terhadap pertahanan KDA.

Persembahan longlai tersebut nyata mengecewakan dan penyokong mula sedar mengapa Sang Kenari tidak mampu untuk beraksi di peringkat Asia musim depan.

"Memang patutlah Selangor pergi Asia, ceroi betul," kata penyokong bernama Msi Fiq.

"Macam senapang angin, bunyi lebih (tapi) hasil tak ada," ujar Nafri Masrom pula.

"Tahun depan rombak semua (pemain) sekalilah," komen Norman Lockman.

Persembahan mengecewakan KDA itu pastinya perlu dibaiki oleh Nafuzi Zain pada musim depan supaya dapat menghasilkan saingan lebih kompetitif.

Jika tidak, suara penyokong akan lebih lantang mengecam bukan saja skuad, malah pengurusan tertinggi kelab yang gagal membawa kejayaan ke Stadium Darul Aman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram