PERSIAPAN pelbagai pasukan kini semakin rancak apabila musim baharu Liga Super akan bermula pada tahun depan.
Terutamanya buat Sri Pahang FC yang kini telah menghabiskan kesemua perlawanan liga mereka apabila menamatkan aksi terakhir menentang Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 0-0 pada Sabtu.
Dengan musim sudah tamat, Sri Pahang telah mula melakukan gerak kerja bagi mendapatkan pemain baharu bagi musim depan. Fandi Ahmad dilihat ingin membawa beberapa nama ke Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Menurut pemerhati sukan, T. Avineshwaran, Sri Pahang dijangka akan membawa masuk bekas pemenang Piala Malaysia bersama-sama Perak FC iaitu Hafizul Hakim ke Darul Makmur.
Hafizul yang tidak beraksi di Liga Super kini bersama-sama pasukan handalan Liga M3 iaitu Harini FT. Namun begitu, kontraknya telah tamat pada akhir musim 2023.
"Bekas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim kini sedang diperhatikan oleh Sri Pahang untuk musim depan. Difahamkan, kontraknya bersama-sama Harini FT sudah berakhir," kata Aniveshwaran dalam siarannya di X (Twitter).
Hafizul boleh mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Izham Tarmizi. — Facebook/Harini FT
Pengganti Izham Tarmizi
Tindakan pantas dilakukan oleh Sri Pahang mencari penjaga gol baharu adalah tidak lain bagi mendapatkan pengganti buat Izham Tarmizi.
Izham yang beraksi sebagai pemain pinjaman, akan kembali semula ke kelab asalnya iaitu Johor Darul Takzim dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk kembali ke Sri Pahang.
Berbekalkan pengalaman yang dimiliki serta pernah menyarung jersi kebangsaan, Hafizul dilihat boleh menjadi pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Izham.
Dengan kontraknya bersama-sama Harini sudah pun tamat, Sri Pahang boleh mendapatkannya secara percuma. Oleh itu, Tok Gajah berpotensi mendapatkan bargain dalam perpindahan tersebut.
Mungkin Hafizul memerlukan sedikit latihan berintensiti tinggi supaya dapat membiasakan kembali dengan bola sepak Liga Super. Jika Sri Pahang berjaya mendapatkan penjaga gol tersebut dengan awal, mereka akan ada banyak masa untuk menajamkan Hafizul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram