SELANGOR FC menutup tirai Liga Malaysia (Liga M) dengan kenangan indah apabila menamatkan saingan Liga Super dengan kedudukan kedua dengan mengumpul 61 mata menerusi 20 kemenangan, satu seri serta merekodkan lima kekalahan dalam 26 perlawanan.
Bukan itu sahaja, Selangor juga berhasil mencapai objektif ke persada Asia selepas menang perebutan naib juara Liga Super 2023 apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Alor Setar, Kedah pada 2 Disember lalu.
Jadual sibuk serta perlawanan mencabar pada musim depan pastinya membuatkan Selangor kini sedang mempersiapkan diri dari segi fasiliti, kewangan dan termasuklah keperluan untuk mengukuhkan pasukan Gergasi Merah.
Pemain dengan persembahan cemerlang pada musim ini pasti antara nama yang akan kekal menyarung jersi Merah Kuning dan penyokong juga akan menggesa kelab mengikat mereka kerana risau tawaran dari pasukan luar.
Seperti situasi yang terjadi kepada penjaring terbanyak Selangor dan Liga Super musim ini, Ayron del Valle yang dikaitkan mendapat tawaran kelab berpangkalan di negara kelahirannya, Colombia, sekali gus petanda meninggalkan Gergasi Merah.
Ayron (kiri) bersama rakan sepasukannya dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang PDRM FC yang berakhir dengan keputusan 3-1 di Stadium MBPJ pada Ahad. — Facebook/SelangorFC
Ambil maklum mengenai khabar angin berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui sedang berada dalam fasa rundingan untuk mengekalkan pemain berusia 32 tahun itu.
“Kami sedang berbincang dengannya tapi pemain macam Ayron banyak tawaran dan minat dari kelab luar. Saya difahamkan ada kelab dari Mexico, USA (Amerika Syarikat) dan Colombia berminat nak dapatkan Ayron.
"Kami akan berbincang dengan lebih lanjut macam mana perancangan tahun depan. Dia ada kualiti dan Selangor berminat untuk dapatkan Ayron,” katanya kepada Majoriti.
"Dia dapat offer Mexico, Colombia dan USA"
Selangor dalam fasa memujuk Ayron untuk kekal bersama Gergasi Merah pada musim depan.
CC @majoritionline pic.twitter.com/zNsu3DGkoc
— rahmieeee (@rahmi_jono) December 18, 2023
Johan Kamal turut berbangga dengan pencapaian Ayron kerana berhasil mendapatkan gelaran penjaring terbanyak dan namanya juga bakal disebut sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas dalam Anugerah Sukan Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023 nanti.
Pada tahun pertamanya di saingan Liga Malaysia, pemain berketinggian 1.75 meter itu sudah mencetak 22 gol dan membantu lima hantaran bantuan setakat 26 perlawanan Liga Super musim ini.
Selain ingin mengekalkan Ayron, Johan Kamal juga menegaskan akan mengambil serius dan meneliti mengenai senarai pilihan pemain yang akan dibawa masuk pada saingan 2024.
“Semestinya kita ada senarai nama pemain yang kita sedang teliti. Perkara ini harus diteliti dengan mendalam dan kita mengambil serius pemain yang dibawa masuk.
“Bukan perkara sudah nak bawa masuk pemain, jadi kita perlu mengambil semua aspek dan faktor sebelum buat keputusan nak bawa pemain.
“Kita pun ada pemain muda yang bagus, ramai pemain bawah 25 tahun. Kita rasa tahun depan mereka lebih matang dan bersedia,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram