KUCHING City FC menamatkan kempen Liga Super 2023 apabila mudah menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban, pada Ahad.
Yuki Tanigawa, Pedro Henrique dan dua jaringan dari Bruno Dybal cukup memberi senyuman kepada penyokong pasukan pelawat yang sanggup turun ke Paroi demi memberi sokongan terakhir kepada kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.
Selepas mengharungi 26 perlawanan Liga Super pada musim ini, Kuching City berada di kedudukan kedua terbawah liga dengan hanya mengutip 12 mata hasil dua kemenangan dan enam kali seri.
Walaupun secara keseluruhan prestasi Kuching tidak berada pada tahap memuaskan namun kredit perlu diberi kepada Aidil Sharin Sahak yang berhasil membawa pasukan The Cats menjadi naib johan bagi kejohanan Piala Cabaran 2023 pada awal Disember ini.
Pemain Kuching City meraikan kejayaan menang besar ke atas NSFC. — Facebook/KuchingCity
Di bawah kendalian pengendali kelahiran Singapura itu, ramai menjangkakan bahawa skuad The Cats bakal memberi tentangan hebat pada musim depan lagi-lagi apabila Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman memberi gambaran mengenai perancangan musim 2024.
Bukan itu sahaja, Aidil Sharin juga tidak menolak kebarangkalian untuk membawa masuk pemain kebangsaan tanah air pada musim depan sekiranya menepati bajet yang sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Dengan perancangan rapi dari pihak pengurusan dan Aidil Sharin, tidak keterlaluan untuk meramal bahawa Kuching City boleh menjadi kuasa besar Borneo dan mengalahkan jiran terdekat mereka, Sabah FC pada musim depan.
Bagi merealisasikan perkara berkenaan, Kuching City mungkin boleh mempertimbangkan tiga nama pemain kebangsaan yang boleh menjadi pilihan teratas untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan nanti.
1) Daniel Ting
Daniel juga antara bek kiri pilihan Kim Pan-gon untuk skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Bek kiri kebangsaan, Daniel Ting mula mendapat perhatian penyokong sejak tampil dengan persembahan memukau bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim 2022 dan sejak itu namanya sering dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super lain.
Selepas itu, Daniel menyertai Johor Darul Takzim (JDT) namun tidak sempat melakukan sebarang penampilan bersama skuad utama kerana dia lebih banyak bermain untuk JDT II musim lalu.
Keputusannya untuk bermain sebagai pemain pinjaman ke Sabah FC menaikkan semula kariernya dan antara watak utama Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi di posisi kiri pasukan sama ada dalam saingan domestik ataupun Piala AFC.
Dipinjamkan dari skuad Harimau Selatan awal musim ini, pemain warisan England-Malaysia tersebut sudah beraksi dalam 27 perlawanan disertai Sabah FC dan menjaringkan enam gol serta lima hantaran bantuan bersama Sabah setakat ini.
Kualiti yang dimiliki pemain berusia 31 tahun itu membuatkan Kuching City dikhabarkan sedang mengintai Daniel selepas wartawan The Star, T. Avineshwaran memuat naik ciapan mengenai khabar angin berkenaan.
2) Syazwan Andik
Syazwan pernah mempunyai nilai pampasan sebanyak RM1.6 juta ketika berada bersama pasukan Warga Kota. — Facebook/SriPahang
Meskipun Syazwan Andik tidak lagi mendapat panggilan skuad kebangsaan namun pemain berusia 27 tahun itu pernah mempunyai nilai pampasan sebanyak RM1.6 juta ketika berada bersama pasukan Warga Kota pada musim 2018.
Nilai pampasan yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuktikan bahawa Syazwan antara pemain pertahanan rebutan suatu ketika dahulu dan nampaknya senario berkenaan berulang lagi pada tahun ini.
Selepas semusim menyertai Sri Pahang sebagai pemain pinjaman dari skuad Harimau Selatan, Syazwan berhasil melonjakkan semula kariernya dengan menjadi pemain kepercayaan Fandi Ahmad untuk mengisi posisi bek kiri Tok Gajah.
Bukitnya, selain berperanan mematahkan serangan pihak lawan, anak jati Johor itu juga memberi sumbangan untuk bahagian depan Tok Gajah apabila mencetak dua jaringan gol dan membuat tiga hantaran bantuan.
Jika Kuching City berhasrat untuk mendapatkan khidmat Syazwan bagi mengisi kelompangan bek kiri, pihak pengurusan nampaknya perlu berusaha lebih kerana bekas pemain Harimau Muda itu pernah mendedahkan keinginannya ke Negeri Sembilan menerusi sesi live di laman TikTok.
3) Khuzaimi Piee
Kurang mendapat minit permainan antara faktor Khuzaimi jarang mendapat panggilan kebangsaan kebelakangan ini. — Facebook/SelangorFC
Dua buah kelab iaitu KL City dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) difahamkan berminat mendapatkan khidmat bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee menerusi status pinjaman bagi memperkukuhkan pertahanan pasukan masing-masing pada musim depan.
Walaupun tiada khabar angin mengaitkan bek tengah kebangsaan itu dengan skuad The Cats namun tidak salah untuk Kuching City turut beratur merisik pemain berusia 30 tahun itu bagi menyelesaikan masalah bolos pada saingan 2024.
Musim ini menyaksikan gawang Kuching City dibolosi sebanyak 51 gol dan ia membuktikan mereka memerlukan pertahanan kental berpengalaman seperti Khuzaimi untuk mengatasi masalah berkenaan.
Bukan hanya menguntungkan The Cats, malah, ia juga memberi manfaat kepada Khuzaimi sendiri bagi mendapatkan minit permainan selepas dia hanya beraksi dalam 11 penampilan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram