Lupakan Kedah, 3 sebab Syafiq Ahmad perlu ke Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Syafiq dilaporkan bakal meninggalkan JDT selepas kurang meraih minit permainan bersama pasukan itu musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KETIKA ini, penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad dikhabarkan bakal pulang ke Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas sukar buatnya mendapatkan minit permainan bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Dia yang hanya merekodkan 11 penampilan dalam kesemua pertandingan kian kehilangan tempatnya dalam skuad Harimau Malaya yang bakal bersaing dalam Piala Asia tahun depan.

Namun, sekiranya diberikan peluang, penyerang itu jarang mensia-siakannya apabila dia masih merekodkan tiga gol secara keseluruhan dengan dua daripada hadir ketika separuh akhir Piala Malaysia.

Jadi, dalam usaha meraih semula sentuhan serta keyakinannya, pemain berusia 28 tahun berkenaan dilaporkan bersedia untuk kembali ke kelab lamanya.

Langkah berkenaan sememangnya disokong ramai memandangkan kepulangannya musim lalu membuahkan hasil meskipun dia hanya menyertai skuad Sang Kenari untuk separuh musim.

syafiq-2-1

Skuad Sang Kenari dilaporkan bersedia untuk menerima kehadiran Syafiq Ahmad.

Bagaimanapun, dalam perkembangan berbeza, terdapat juga ura-ura yang mengatakan penyerang tersebut turut didambakan finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu FC.

Pasukan yang cukup bergantung kepada sentuhan penyudah Ivan Mamut dilaporkan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pemain import musim depan.

Oleh itu, tidak menimbulkan sebarang persoalan sekiranya skuad Sang Penyu mampu diperkuatkan Syafiq dalam saingan Liga Super 2024/25.

Situasi berkenaan semestinya mendatangkan kerunsingan buat pemain berkenaan yang perlu memilih langkah terbaik dalam menghidupkan semula kariernya yang sedikit malap.

Namun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab terbaik untuk Syafiq menyertai skuad Sang Penyu berbanding kembali ke pangkuan KDA FC musim depan.

1. Minit permainan terjamin

Khabar angin mengenai perpindahan Syafiq Ahmad timbul selepas pemain tersebut mahu mendapatkan peluang beraksi dengan lebih kerap setelah lebih kerap memanaskan bangku simpanan di JDT.

Melihat kepada situasi Terengganu FC dan KDA FC ketika ini, tiada sebab untuknya bergelut untuk mendapatkan minit permainan berdasarkan keberadaan pemain masing-masing.

Namun, skuad Sang Penyu dilihat sebagai destinasi lebih baik buatnya memandangkan pasukan tersebut masih belum mendapatkan gandingan tiga serangkai terbaik.

Ketua jurulatih mereka, Tomislav Steinbruckner musim ini kerap menurunkan Ivan Mamut, Sony Norde dan Norhakim Hassan dengan gabungan tersebut tidak membuahkan hasil terbaik.

2015198

Syafiq mampu mengurangkan beban dipikul Ivan Mamut buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Jadi, sekiranya Syafiq memilih untuk menyertai pasukan Pantai Timur berkenaan, dia pastinya dapat diserap terus ke dalam kesebelasan utama bagi memperkuatkan lagi barisan mereka.

Kebolehan Syafiq untuk beraksi di beberapa posisi mampu menyaksikannya diletakkan sebagai pemain sayap untuk menggantikan Sony atau Norhakim.

KDA FC pula dilihat memiliki kesebelasan utama yang lebih kukuh dengan laporan menyebut mereka bersedia mengekalkan khidmat dua pemain sayap, Manuel Hidalgo dan J Partiban.

Meskipun Syafiq boleh diturunkan sebagai penyerang utama, kecenderungan pasukan Utara tanah air itu menggunakan penyerang import akan menyebabkannya sukar mendapatkan minit permainan dengan kerap.

2. Membuktikan kebolehannya dalam suasana berbeza

Setakat ini, penyerang kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu hanya pernah beraksi bersama dua pasukan Liga Super, iaitu KDA FC dan JDT.

Walaupun cemerlang dengan kedua-dua kelab berkenaan, Syafiq masih berpeluang menambah pengalamannya sekiranya dia memilih untuk beraksi di Pantai Timur.

Pilihan itu dilihat akan memberikan peluang buat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menilai kebolehannya, sekali gus menyaksikannya kembali ke radar Harimau Malaya.

271302050_5012622508782916_3732898175445762724_n

Syafiq pastinya bercita-cita untuk pulang ke pangkuan Kedah musim depan. Facebook/Team Malaysia

Meskipun ia tidak akan mengesahkan tempatnya ketika saingan Piala Asia, ia sedikit sebanyak akan menaikkan reputasinya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekangan untuk Syafiq memilih Terengganu FC berbanding pulang ke pangkuan KDA FC dengan isu menyesuaikan diri merupakan perkara utama.

Syafiq yang sudah selesa menetap di Johor pastinya perlu berfikir dengan mendalam mengenai kebolehannya untuk memulakan hidup di Pantai Timur.

Faktor itu juga dilihat akan memberi kesan terhadap kecenderungannya untuk kembali ke Utara tanah air dengan dia semestinya tahu selok-belok di Kedah selepas beberapa tahun beraksi buat skuad Sang Kenari.

3. Kestabilan Terengganu FC

Musim ini, KDA FC dilaporkan berdepan masalah pengurusan sehingga mendesak pihak pengurusan kelab membuat pendedahan menerusi satu sidang media pertengahan tahun lalu.

Situasi itu dikatakan antara punca skuad Sang Kenari mencatatkan prestasi sedikit merudum pada pertengahan musim sehingga menyebabkan mereka tersingkir dari Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.

Bagi Terengganu FC pula, mereka dilaporkan tidak berdepan masalah berkenaan apabila pemain difahamkan menerima gaji tepat pada masanya.

2248065

Syafiq Ahmad berpeluang kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

Hal tersebut menyaksikan pasukan tersebut bersaing dengan cemerlang sepanjang musim meskipun mereka sedikit bergelut untuk menerapkan falsafah bola sepak Tomislav.

Pencapaian membanggakan turut dirasai skuad Sang Penyu setelah mereka melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia, namun tewas kepada JDT awal bulan lalu.

Kestabilan pasukan akan membolehkan Syafiq menikmati masa permainan dengan lebih selesa tanpa perlu memikirkan masalah lain di luar padang.

Selain itu, situasi pengurusan kelab juga akan menyaksikan skuad tidak akan berdepan rombakan secara besar-besaran yang akan mengganggu prestasi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram