Aksi terakhir lawan Kedah lebih penting, ramai fans reda Sang Badak dimalukan kelab Indonesia


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Stuart Wilkin (kanan) gagal dalam membantu Sabah FC meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan Piala AFC. — Facebook/AFCCup

PAHIT untuk ditelan tapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Pasukan Sabah FC terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 di laman sendiri selepas gagal meraih kemenangan berdepan PSM Makassar dalam perlawanan terakhir aksi Kumpulan H Piala AFC 2023/24 pada Khamis.

Dalam perlawanan babak pertama, anak-anak buah Kim Swee dikejutkan dengan gol pembukaan daripada pasukan pelawat menerusi jaringan Yakob Sayuri seawal minit ke-15.

Sang Badak bermula perlahan apabila pasukan PSM Makassar lebih banyak membuat serangan ke arah kubu pertahanan Sang Badak.

Sebelum babak pertama perlawanan berakhir, The Rhinos menghadiahkan satu jaringan kepada pasukan PSM Makassar selepas pertahanan Sabah FC, Dominic Tan gagal mengawal situasi lalu menyumbat bola ke dalam gawang sendiri, menjadikan kedudukan 0-2.

Bersambung babak kedua, The Rhinos bangkit daripada kekecewaan selepas Telmo Castanheira cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-73.

WhatsApp Image 2023-12-14 at 22.16.08 (1)

Pasukan PSM Makassar meraikan kemenangan selepas menewaskan Sabah FC. Facebook/AFCCup

Bagaimanapun, masih mahu memberikan tentangan, pasukan pelawat berjaya menambah jaringan selepas Everton menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir sekali gus membawa pulang tiga mata.

Keputusan itu begitupun tidak menjejaskan peluang The Rhinos yang telah menempah slot ke pusingan kalah mati apabila muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berasakan kekalahan itu tidak menjadi masalah utama kerana Sabah FC mahu fokus kepada perlawanan terakhir Liga Super berdepan Kedah pada Ahad.

"Alaaa jadi lauk ni malam, apa pun semoga bangkit nanti lawan Kedah FC, kalau begini juga mainan Sabah FC lawan Kedah, confirm jadi sayur lagi," kata Jashton Jash.

"Sabah dah layak ke pusingan seterusnya, bagi lag orang lain menang kan, fokus untuk cari tempat pula nanti ya di Liga Super," kata Bryan Peter.

"Persediaan Liga Super untuk menang dengan Kedah, mahu rebut kedudukan ketiga kan," kata Mtzn Atan.

Selepas ini, Sabah akan bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi terakhir Liga Super pada 17 Disember nanti bagi merebut tempat ketiga dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram