TUGASAN berat menanti Selangor FC dalam aksi penutup Liga Super apabila mereka dijadualkan bertemu PDRM FC sebagai pasukan pelawat di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Meskipun sudah mengesahkan kedudukan sebagai naib juara, skuad Gergasi Merah pastinya tidak mahu mencicirkan lebih banyak mata sebelum musim ini berakhir.
Bagaimanapun, harapan untuk meraih kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah buat pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe dengan skuad Sang Saka Biru muncul juara MFL Challenge Cup 2023.
Selain itu, rekod pertemuan menyaksikan Selangor FC tewas sebanyak dua kali daripada tiga perlawanan, iaitu ketika saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Jadi, Cheng Hoe memberi peringatan buat anak-anak buahnya bahawa aksi tersebut tidak boleh disia-siakan dalam usaha mereka mengumpul sebanyak mata yang mungkin.
Selangor FC bergelut setiap kali berdepan PDRM FC musim ini. — Facebook/PDRM FC
"Rekod kami menentang PDRM FC tidaklah begitu baik. Kami menang sekali dan kalah sebanyak dua kali, jadi kami mahu meraih kemenangan untuk memberi keyakinan buat kami.
"Dalam perlawanan akhir ini, ramai yang akan turun dan memberi sokongan dan kami tidak mahu mengecewakan mereka. Kita perlu memberikan tumpuan sepenuhnya," kata Cheng Hoe.
Selangor FC disahkan muncul sebagai naib juara Liga Super 2023 selepas memiliki kelebihan lima mata berbanding Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menduduki tangga ketiga dengan kutipan 53 mata.
Kedudukan tersebut sekali gus menyaksikan mereka berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Pengendali berusia 55 tahun itu turut menegaskan perancangan awal masih belum dibuat berkaitan kesebelasan utama yang bakal diturunkan untuk bertemu skuad Sang Saka Biru itu.
"Kebanyakan pemain kami sudah diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing. Jadi, kita tidak tahu sama ada kami akan menurunkan pasukan berbeza atau seperti mana dibuat sepanjang musim.
"Setiap individu tahu peranan tersendiri dalam pasukan dan mereka juga tahu harapan yang tinggi diletakkan penyokong untuk setiap perlawanan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram