Tcheche Kipre tulis panjang lebar isu guna visa pelancong, beri bayangan tinggalkan Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Kipre menyumbang lapan jaringan gol dan empat hantaran bantuan dalam 23 aksi Liga Super bersama KL City. — Facebook/KLCity

PENYERANG import yang kini mewakili Kuala Lumpur (KL) City FC, Tcheche Kipre mengejutkan penyokong tanah air dengan dakwaan menggunakan visa pelancong dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Menerusi laporan daripada Harian Metro, kegagalan pengurusan skuad The City Boys memohon permit kerja buat Kipre menyebabkan pemain dari Ivory Coast itu difahamkan menggunakan visa pelancong yang sudah tamat pada awal tahun ini.

Undang-undang Malaysia menegaskan bahawa bagi ketiadaan permit bekerja di negara ini dan tinggal lebih tempoh yang dibenarkan iaitu selama 90 hari menyebabkan bekas penyerang Terengganu FC itu berpotensi disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tidak menunggu lama untuk memperjelas situasi berkenaan, penyerang berusia 35 tahuh itu menyatakan bahawa isu permit kerja itu sudah lama berlaku dan pihak pengurusan KL City juga sudah menjalankan tanggungjawab mereka membantunya.

Malah, Kipre juga menjelaskan kontraknya bersama skuad The City Boys juga sudah menemui titik nokhtah dan kini penyerang itu akan membawa haluan baru selepas semusim menabur bakti bersama KL City.

Perkara berkenaan selari dengan kenyataan peguam yang mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid apabila mengesahkan pemain itu sudah menamatkan kontrak pada 6 Disember lalu selepas tiga bulan tidak dibayar gaji dari September, Oktober dan November.

Peguam Kipre turut menjelaskan bahawa pihaknya turut akan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengenai isu terbabit serta menuntut tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak yang perlu diselesaikan oleh pasukan Lembah Klang itu.

WhatsApp Image 2023-12-15 at 11.23.42

Kipre mula menyarung jersi KL City pada awal musim ini. — Facebook/KLCity

"Perjalanan saya dengan KL City adalah musim yang penuh dengan bermacam-macam jangkaan dan ada juga kepayahannya. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang memainkan peranan dalam musim ini.

"Kelab dan saya telah menemui titik persamaan iaitu untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama. Laporan mengenai isu permit kerja sudah berlalu dan KL City juga sudah melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya menerusi laman Instagram.

Selain itu, Kipre juga menegaskan pemergiannya itu juga adalah disebabkan urusan keluarga yang mana difahamkan ayahnya kini berada dalam keadaan tidak mengizinkan untuknya terus beraksi di Malaysia.

Dari kenyataan bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu juga seakan-akan memberi bayangan akan meninggalkan Liga Malaysia (Liga M) setelah hampir tujuh tahun bergelar sebagai penyerang di tanah air.

"Kini, keluarga perlu diutamakan terutamanya ayah saya yang memerlukan diri saya pada masa ini. Terima kasih kepada rakan sepasukan, pemain, jurulatih, dan kelab yang saya sayangi untuk selama ini.

""Saya berterima kasih dengan kerjasama kelab yang menjadikan dakwaan terhadap saya tidak lagi relevan. Saya berharap kita dapat bertemu lagi dan saya juga mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pihak," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram