[VIDEO] Dijangka berwajah baharu, mampukah Sabah terus mara di pentas Asia?


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Skuad Sang Badak bakal meneruskan kemaraan dalam separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2023/24 pada Februari akan datang. — Facebook/Sabah FC

KEKALAHAN dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan tidak memberi kesan kepada Sabah FC yang sudah memastikan kemaraan ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2023/24.

Mereka yang berjaya mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan menamatkan saingan Kumpulan H di tangga teratas, sekali gus bakal bertemu kelab Australia, Central Coast Mariners dalam aksi seterusnya.

Pencapaian itu pasti menjadi satu yang cukup membanggakan buat penyokong skuad Sang Badak memandangkan ia merupakan kali pertama mereka beraksi di pentas Asia selepas bertahun-tahun lamanya.

Malah, ramai daripada mereka turut percaya dengan kemampuan pasukan Borneo itu untuk meneruskan kemaraan melihat kepada pemain dimiliki ketika ini.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan terdapat laporan Sabah FC bakal kehilangan beberapa pemain utama pada jendela perpindahan akan datang.

KOTA KINABALU, 13 Dis -- Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee ketika mengadakan sidang media menjelang pertemuan dengan PSM Makassar dalam saingan AFC Cup di Stadium Likas, malam esok.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Kim Swee sebelum ini dikatakan menarik perhatian beberapa pasukan Indonesia.

Penyerang import Brazil, Ramon Machado dan bek kiri, Daniel Ting merupakan antara nama yang dipetik selepas kontrak masing-masing difahamkan sudah tamat.

Selain itu, pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee juga dikhabarkan bakal mencari angin baharu dengan kelab Indonesia dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Situasi itu dibincangkan dalam satu siaran Astro Arena yang menjangkakan skuad Sang Badak bakal berwajah baharu ketika aksi di peringkat kalah mati.

"Apabila kita mengambil faktor kalendar Liga Malaysia, itu bermakna pasukan Sabah yang bakal bermain selepas ini adalah mungkin pasukan yang cukup berbeza berbanding yang sekarang.

"Ini kerana Liga Malaysia sudah hampir tamat bermakna kita kurang pasti adakah jurulatih akan dikekalkan, adakah pemain sama akan dikekalkan?" soal salah seorang panelis, Keesh Mat Stats.

Berdasarkan undian awal, skuad Sang Badak bakal berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners yang meraih tiket ke peringkat seterusnya selepas mengungguli Kumpulan G.

Perlawanan berkenaan dijangka berlangsung pada 12 dan 13 Februari sementara jendela perpindahan dijangka dibuka pada Januari.

Ketiadaan pemain serta Kim Swee dijangka menyukarkan kemaraan Sabah FC yang dilihat cukup serasi ketika ini dengan gandingan antara satu sama lain juga cukup meyakinkan.

Skuad Sang Badak bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2023 dengan pemenang bakal meraih tempat ketiga.

Kejayaan dalam aksi di Stadium Likas, Sabah pada Ahad ini juga akan memberi kesan besar terhadap masa depan pasukan dari segi kutipan wang daripada kedudukan terakhir liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram