[VIDEO] Jika terlepas Romel Morales ke JDT, Selangor boleh sambar 3 import J-League hitung hari tamat kontrak


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Musim ini, Yan menjaringkan sembilan gol dan melakukan 16 'assist' dalam 45 perlawanan terakhir bersama Yokohama F. Marinos. — Agensi

PEREBUTAN dua pasukan gergasi untuk mendapatkan bakal pemain naturalisasi baharu kebangsaan, Romel Morales Ramirez menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Dua pasukan itu adalah Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC yang akan mewakili Malaysia di pentas Asia pada musim depan.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pernah mendedahkan bahawa Romel Morales akan mewakili Malaysia dan memberi bayangan ke JDT pada musim depan.

Namun komen tersebut telah dipadam, namun ia telah menjadi tular di media sosial dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran dalam laman X mendedahkan JDT dan Selangor sedang memburu khidmat pemain berusia 26 tahun itu yang pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia 2021.

Dengan pendedahan yang dilakukan oleh TMJ, ia seolah-olah memberi gambaran jelas bahawa Romel mungkin menyertai Harimau Selatan musim depan.

Jadi jika pihak pengurusan Selangor terlepas Romel ke JDT, Majoriti senaraikan tiga pemain import J1 League (Jepun) yang tamat kontrak pada Disember 2023:

1. Yan Matheus Souza (Yokohama F. Marinos)

Mungkin pemain kelahiran Brazil ini antara individu tepat buat Selangor FC untuk menyelesaikan masalah di kawasan sayap kanan Gergasi Merah musim depan.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, kontrak Yan Matheus Souza bersama kelab gergasi Jepun, Yokohama F. Marinos akan berakhir pada 31 Disember 2023.

Walaupun hanya merekodkan sembilan jaringan gol, pemain sayap berusia 25 tahun itu berjaya memberikan 16 'assist' dalam 45 perlawanan terakhir bersama Yokohama F. Marinos.

Bekas pemain skuad nasional B-17 Brazil itu mempunyai kelincahan dan skil yang tinggi untuk menewaskan pertahanan lawan.

Bukan sahaja itu, rembatan kaki kiri yang dimiliki Yan juga perlu diberi perhatian oleh barisan kejurulatihan Selangor FC untuk membawanya ke Lembah Klang musim depan.

2. Pedro Henrique Perotti (FC Tokyo)

Tidak mempunyai rekod jaringan yang baik bersama FC Tokyo musim ini, Pedro Henrique Perotti akan pulang ke pangkuan kelab Brazil, Chapecoense de Futebol pada tahun depan.

Namun begitu, Perotti bukanlah seorang penyerang import yang tidak bagus apabila dia pernah meledak 15 gol dalam 18 penampilan bersama Chapecoense pada 2021.

Sejak melakukan debut 'senior' Chapecoense, pemain berusia 26 tahun itu sudahpun menjaringkan 34 gol dalam 109 penampilannya.

Berketinggian 1.86 meter (m) Perotti mempunyai 'aerial duel' yang baik apabila sering menjaringkan gol menerusi tandukan.

Dengan Selangor yang akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), pastinya Cheng Hoe mahu penyerang yang mempunyai saiz fizikal yang lebih baik untuk mengemudi bahagian serangan musim depan.

3. Kasper Junker (Nagoya Grampus)

Kasper Junker mempunyai pengalaman luas di Eropah dan Jepun dengan beraksi bersama beberapa pasukan gergasi seperti Randers FC, FK Bodo/Glimt dan Urawa Reds Diamond.

Ketika beraksi bersama FK Bodo/Glimt, Junker berjaya melakukan penampilan sulung dalam kejohanan UEFA Europa League (UEL) dan menjaringkan satu gol.

Pemain berusia 29 tahun itu juga menjadi penjaring terbanyak Liga Norway apabila menjaringkan 27 gol pada musim 2019/20.

Selain itu juga, dia berjaya membantu dua pasukan yang diwakilinya FK Bodo/Glimt dan Urawa Red Dimonds menjuarai trofi penting seperti Norwegian Champion, Japanese Cup dan AFC Champions League (ACL).

Junker juga pernah merekodkan jaringan ke atas JDT dalam perlawanan pusingan ke-16 ACL pada musim lalu.

Bekas penjaring terbanyak Liga Norway itu membuktikan bahawa dia merupakan penyerang paling berbisa apabila rekod jaringan yang luar biasa.

Musim ini, Junker dipinjamkan ke kelab Jepun, Nagoya Grampus dan telah menjaringkan 17 gol, lima 'assist' dalam 42 penampilan.

Sejak berkelana di Jepun, bekas pemain muda kebangsaan Denmark itu merekodkan 44 gol dan lapan 'assist' dalam kesemua kejohanan domestik negara Matahari Terbit tersebut sejak 2021.

Selain beraksi di posisi penyerang, Junker juga boleh bermain sebagai pemain sayap kiri dan kanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram