[VIDEO] Kapten kelab Sepanyol beri penghormatan terakhir kepada penyokong meninggal dunia


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Victor Diaz (kiri) dan Iker Muniain (kanan) membawa sejambak bunga untuk diletakkan di kerusi mendiang sebagai tanda penghormatan terakhir. — Agensi

KAPTEN pasukan Granada dan Athletic Bilbao memberikan penghormatan terakhir kepada seorang penyokong pemegang pas bermusim Granada, Antonio Trujillo Izquierdo yang maut di tempat penonton di Stadium Nuevo Los Carmenes, Sepanyol pada awal pagi Isnin.

Granada yang diwakili Victor Diaz dan Iker Muniain (Athletic Bilbao) membawa sejambak bunga untuk diletakkan di kerusi mendiang sebagai tanda penghormatan terakhir.

Selain sejambak bunga, jersi yang tertera nama Antonio serta nombor keahlian kelab turut berada di tempat duduk mendiang semasa menonton perlawanan Granada dan Athletic Bilbao sebelum perlawanan dihentikan akibat dia mengalami sakit jantung.

Sebelum ini, perlawanan Granada menentang Athletic Bilbao dalam aksi La Liga ditangguhkan selepas seorang penyokong maut di tempat penonton di Stadium Nuevo Los Carmenes.

Perlawanan dihentikan pada minit ke-18 dengan pelawat Athletic mendahului 1-0 selepas peminat Granada menerima rawatan perubatan, sebelum La Liga mengesahkan perlawanan itu kemudiannya ditangguhkan 'kerana kematian peminat yang menyedihkan' dalam satu kenyataan.

Pemain dari kedua-dua pasukan meninggalkan padang 20 minit selepas perlawanan dihentikan, dengan penyokong kemudian diminta meninggalkan stadium selepas keputusan akhirnya diambil untuk menangguhkan perlawanan.

"Bola sepak menjadi perkara yang paling tidak penting, ia adalah satu tragedi yang perlu kami lalui, dan kami sedang berkabung," kata pengarah Granada, Alfredo Garcia Amado, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai perubatan Athletic kerana membantu semasa insiden itu.

Granada mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan peminat, dengan banyak kelab Sepanyol lain mengikutinya di media sosial.

Semasa kejadian, penjaga gol Bilbao, Unai Simon dipuji oleh penyokong Granada selepas membantu memaklumkan kepada pegawai mengenai insiden itu di tempat penonton.

Perlawanan bersambung semula pada awal pagi Selasa yang mana menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram