"I'M too old for this. Haha... today dah tak rasa kaki. Dah tua."
Itulah luahan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim selepas baginda cemerlang menewaskan pasukan bola sepak stesen radio Hot FM iaitu Dashing Bekpes Hot dengan keputusan 15-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
TMJ yang mengetuai pasukan pilihan JDT itu turut menampilkan ketua jurulatih JDT, Esteban Solari; bintang JDT, Safiq Rahim dan Farizal Marlias serta bekas pemain, Safee Sali selain turut dibarisi pengurusan dan kakitangan JDT.
Dashing Bekpes Hot pula menampilkan barisan penyampai radio Hot FM seperti Khairy Jamaluddin, Johan, AG, Fizi Ali dan selebriti seperti Tomok, Akim Ahmad, Atu Zero, Achey, Fizo Omar dan bekas bintang bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar.
Dalam perlawanan itu, TMJ meledak jaringan hatrik yang mana dua daripadanya menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol pihak lawan.
TMJ turut memuat naik aksinya di laman sosial peribadi baginda yang menarik perhatian selebriti terkenal seperti Jep Sepahtu dan presiden kelab Indonesia, Pusamania Borneo FC, Nabil Husein Said Amin.
Rata-rata mereka meninggalkan komen positif dengan memuji aksi yang dipamerkan oleh pemilik JDT itu yang diibaratkan seperti legenda Sepanyol, Andres Iniesta.
"Iniesta," kata Jepsepahtu.
"Visi 100% class," ujar Nabilhusien99.
"The Best," jelas Moussajr10.
"Kawalan bola lebih baik daripada kebanyakan pemain bola sepak yang lain," luah Mackyclyde.
Pada Sabtu, JDT akan meraikan kejuaraan selama sedekad menjuarai Liga Super dengan undangan artis antarabangsa seperti Vegedream, French Montana dan kumpulan tarian, Jabbawockeez di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor selepas aksi terakhir liga berdepan Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram