Terengganu gagal iringi Sabah ke pusingan kalah mati Piala AFC


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Sony Norde (kanan) merupakan penjaring gol pertama TFC — Bernama

IMPIAN Terengganu FC (TFC) untuk mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN bagi Piala AFC tidak kesampaian.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bali United FC pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak pada Rabu, TFC gagal menghasilkan jaringan besar untuk mengatasi kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC yang merupakan naib juara Kumpulan F untuk layak ke peringkat kalah mati.

Babak pertama menyaksikan penguasaan tuan rumah dengan percubaan Habib Haroon pada minit ke-21 yang berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan, Muhammad Ridho.

Ia diikuti percubaan pemain muda, Syahmi Zamri pada minit ke-23 yang menyambar umpanan cantik Nor Hakim Hassan, tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan.

mamut

Ivan Mamut (kanan) gagal menghasilkan gol untuk TFC. — Bernama

Hanya pada minit ke-39, tuan rumah berjaya menemui rentak dan meledak gol pertama menerusi pemain import kelahiran Haiti, Sony Norde yang merembat kencang dari luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, TFC yang terdesak untuk mengumpul lebih banyak jaringan terus menggandakan asakan tetapi berjaya dikekang pertahanan lawan.

Namun dua minit sebelum masa perlawanan tamat, skuad Penyu berjaya menambah gol kedua menerusi pemain gantian, Sardor Kulmatov menolak masuk bola ke dalam gawang hasil hantaran Nurillo Tukhtasinov. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram