Kurang letus impak di Piala AFC, khabarnya Jordan Mintah antara 4 import TFC bakal 'lesap' musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Terengganu sekadar menamatkan saingan Piala AFC di tempat kedua kumpulan dengan 12 mata. — Facebook/TFC

TANPA berselindung mengenai kekangan kewangan, Terengganu FC (TFC) difahamkan akan mengambil insiatif untuk mengurangkan pengambilan pemain import musim depan dan selebihnya akan bergantung harap pada tenaga pemain tempatan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, khidmat pemain import skuad Penyu mungkin akan dikurangkan daripada sembilan kepada lima orang sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kelab.

Hishamuddin berkata, pelaksanaan perkara itu bagaimanapun akan diputuskan selepas perbincangan lanjut dibuat bersama barisan kejurulatihan bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada prestasi skuad Sang Penyu.

Untuk rekod, musim ini skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menggunakan khidmat sembilan pemain import termasuk tiga penyerang iaitu Jordan Mintah, Ivan Mamut dan penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.

Sementara itu, di bahagian tengah pula terdiri daripada Sony Norde, Nueillo Tukhtasinov dan Omid Nazari dan Habib Haroon. Argzim Redzovic dan Saldor Kulmatov pula memperkuatkan jentera pertahanan TFC.

Perkembangan semasa keadaan pasukan Terengganu itu membuatkan ramai penyokong mulai menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan empat pemain yang bakal ditunjukkan jalan keluar pada penghujung musim ini.

Berdasarkan sumbangan dan jangkaan penyokong pada musim ini terutamanya ketika kejohanan besar semasa Piala AFC, berikut empat pemain Terengganu yang mungkin akan digugurkan daripada skuad TFC:

1) Sardor Kulmatov

WhatsApp Image 2023-12-14 at 18.36.37

Kulmatov ketika menjaringkan gol kedua ketika menang 2-0 ke atas Bali United pada Rabu. — Facebook/TFC

Bek tengah Terengganu, Sardor Kulmatov tiba di bumi Terengganu pada awal Januari 2023 dengan matlamat untuk menjadi sandaran terbaru pasukan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim 2023.

Kulmatov yang mempunyai pengalaman beraksi di Piala AFC bersama Sogdiana bagaimanapun tidak dapat menyerlahkan kepakarannya apabila pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Import dari Uzbekistan itu tidak dapat memikat hati Steinbruckner untuk menjadi kesebelasan utama dan akhirnya bek tengah lokal seperti Shahrul Nizam dan Safwan Mazlan lebih menjadi pilihan untuk menjadi benteng Terengganu.

Dengan hanya tampil dalam 18 perlawanan termasuk 13 aksi Liga Super, jodoh pemain berketinggian 1.85 meter berkenaan bersama Terengganu sepertinya akan terlerai di penghujung musim 2023 ini.

2) Adisak Kraisorn

WhatsApp Image 2023-12-14 at 18.36.40 (1)

Adisak dikhabarkan akan kembali semula ke tanah airnya. — Facebook/TFC

Adisak Kraisorn tiba di Liga Malaysia (Liga M) dengan reputasi sebagai penyerang berbisa Thailand apabila pernah dinobatkan sebagi penjaring terbanyak Piala AFF 2018 dan berpengalaman beraksi bersama kelab seperti Muangthong United serta Port FC.

Jangkaan penyokong terhadap Adisak bagaimanapun meleset apabila pemain berusia baru 32 tahun itu tidak berhasil memberikan impak positif di bahagian serangan dan buktinya dia hanya merekodkan empat gol serta tiga hantaran dalam semua pertandigan.

Kebarangkalian Adisak akan mengucapkan selamat tinggal kepada Terengganu juga boleh berlaku selepas muncul khabar angin mengaitkan penyerang berketinggian 1.83 itu dengan kelab lamanya, Port FC.

Memetik ciapan dari wartawan The Star, T.Avineshwaran, Port FC berminat untuk membawa semula pemain yang hanya muncul dalam 18 aksi Liga Super itu dan sekiranya berlaku, kelab Thailand berkenaan sudah bersedia untuk menebus kontrak.

Ketika menyertai kelab Pantai Timur berkenaan pada awal musim ini, Adisak menandatangani kontrak untuk bersama Terengganu selama tempoh 2 tahun (1 + 1).

3) Omid Nazari

WhatsApp Image 2023-12-14 at 18.36.39

Selain bahagian tengah, Omid juga turun membantu bahagian serangan TFC. — Facebook/TFC

Ketibaan pemain Filipina, Omid Nazari dilabel sebagai pembelian panik Terengganu apabila dia hadir ke kem skuad Sang Penyu pada hari terakhir jendela perpindahan bagi menggantikan Luke Woodland yang digugurkan.

Omid diambil oleh pihak pengurusan untuk memperkasakan lagi jentera tengah pasukan dan membentuk gabungan bersama pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi serta ketua pasukan, Habis Haroon.

Bekas import Negeri Sembilan dan Melaka itu kurang mendapat minit permainan bersama Terengganu meskipun mempunyai banyak pengalaman bersama liga lain, Omid hanya diturunkan sebanyak tujuh kali sebagai kesebelasan utama dalam 13 aksi Liga Super.

Meskipun begitu, momen pemain berusia 32 tahun itu menjadi wira buat Terengganu ketika menjadi penyerang tunggal menentang Sri Pahang dengan mencetak dua gol pasti tidak boleh dilupakan penyokong.

4) Jordan Mintah

WhatsApp Image 2023-12-14 at 18.36.40 (2)

Mintah kini beraksi bersama TFC II. — Facebook/TFC

Sejak bersama skuad simpanan Terengganu, Jordan Mintah sering mencuri tumpuan penyokong kerana keupayaannya membawa watak sebagai penyerang TFC II sehingga ramai menyatakan hasrat untuk menyaksikan import Ghana itu menembusi pasukan utama.

Mintah berhasil membalas kepercayaan penyokong dan Steinbruckner dengan mencetak lima jaringan gol di awal musim sebelum diri pemain berusia 28 tahun itu terpalit dengan masalah disiplin.

Isu disipin bermula apabila Mintah gagal menggalas tanggungjawab mengambil sepakan penalti dalam saingan separuh akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dan sejak itu, dia diturunkan ke skuad simpanan.

Dengan keadaan bilik persalinan kurang berpihak kepada bekas penyerang Stallion FC itu, nama Mintah mungkin antara yang tersenarai bakal digugurkan daripada perancangan Terengganu pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram