Kudrat muda taruhan Akmal Rizal berdepan JDT


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Akmal Rizal dilantik sebagai pengendali sementara skuad Harimau Kumbang selepas Yee Fatt digugurkan. — Facebook/Penang FC

SELEPAS dua perlawanan dengan keputusan memuaskan, Penang FC berdepan cabaran hebat apabila mereka bakal bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan pada Sabtu.

Mereka yang kini dikendalikan jurulatih sementara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mula mempamerkan perubahan selepas meraih empat mata ketika berdepan Sri Pahang FC dan Terengganu FC.

Dua keputusan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Kumbang berpeluang menamatkan musim di kedudukan lebih baik dengan pasukan kini berada di tangga ke-10.

Bagaimanapun, hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan JDT mempunyai rekod cukup cemerlang selepas mencatatkan 73 mata setakat ini.

Jadi, terdapat kemungkinan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Akmal Rizal bakal tercalar dengan struktur pertahanan mereka cukup goyah sepanjang musim.

Cabaran itu sememangnya sudah diketahui pemain Penang FC yang memahami kebolehan skuad Harimau Selatan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

407922823_893168442323811_8762436347771873786_n

Skuad Harimau Kumbang berada dalam prestasi lebih baik ketika ini. Facebook/Penang FC

"Semua tahu JDT pasukan yang cukup kuat, kita perlu realistik dengan perlawanan Sabtu ini bukanlah perlawanan yang mudah.

"Tetapi semua pemain sudah bersedia untuk beraksi sehabis baik dan beri persembahan terbaik untuk aksi terakhir musim ini. Peluang pemain muda untuk pengalaman perlawanan yang besar," katanya kepada Majoriti.

Akmal Rizal sebelum ini diberikan kepercayaan mengemudi skuad senior Penang FC bagi menggantikan Chong Yee Fatt yang digugurkan akibat prestasi tidak menentu.

Keputusan tersebut dibuat selepas pengendali berusia 42 tahun itu mempamerkan kebolehannya bersama pasukan belia Harimau Kumbang dari awal musim.

Dalam pada itu, Akmal Rizal turut mengatakan beberapa tonggak pasukan mengalami kecederaan, sekali gus memaksanya untuk menurunkan pemain muda.

"Ada beberapa pemain utama yang cedera antaranya Adriano, Hadin (Azman) dan Faris Shah Rosli. Pemain import hanya (Abdul) Abdeen yang cergas untuk bermain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram