Emosi kalah final Piala Malaysia, Selangor pernah rugi lebih RM10,000 angkara sikap buas penyokong Kedah


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Stadium Shah Alam dilaporkan mengalami kerugian yang dianggarkan RM10,000 susulan kejadian berkenaan. — Agensi

BARU-BARU ini, pentas final Piala Malaysia musim 2023 menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) berhasil mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Walaupun keputusan pengadil sedikit sebanyak membuatkan sebahagian penyokong Terengganu tidak berpuas hati namun tiada sebarang kejadian kurang bermoral seperti insiden rusuhan berlaku selepas perlawanan.

Jika ditelusuri kembali sejarah Piala Malaysia, insiden penyokong Kedah merempuh pintu pagar Stadium Shah Alam selepas tewas 0-2 di tangan Selangor dalam aksi final Piala Malaysia 2015 masih segar dalam ingatan pengikut bola sepak tanah air.

Memetik laporan media kira-kira lapan tahun lalu, penyokong Kedah dilihat beredar kira-kira 10 minit sebelum wisel penamat namun pintu keluar di sepanjang pagar dirantai sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Ketika orang ramai mula menggoncang pintu dengan keadaan marah, ada juga kejadian seperti kesesakan di laluan keluar sehingga mengakibatkan beberapa orang pengsan dalam insiden berkenaan.

selangor

Selangor ketika maraihkan kejayaan merangkul trofi Piala Malaysia 2015 selepas mengalahkan Kedah 2-0. — Agensi

Rentetan kejadian berkenaan, Stadium Shah Alam dilaporkan mengalami kerugian yang dianggarkan RM10,000.

Tampil menjelaskan kejadian berkenaan, pengurus stadium ketika itu, Jamsari Khamin menyatakan bahawa kejadian tersebut mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk pintu pagar yang sudah lama.

Mengulas mengenai pintu yang ditutup semasa perlawanan itu, Jamsari berkata, pihak pengurusan stadium sudah mengikut prosedur operasi standard bagi mengelak pergaduhan yang tercetus semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Arab Saudi pada September 2015.

Pada 8 September 2015, pasukan pelawat Arab Saudi mendahului 2-1 dalam kelayakan Asia Piala Dunia Kumpulan A apabila perlawanan dihentikan pada minit ke-87 selepas penyokong membaling suar dan bunga api ke atas padang.

Kejadian berkenaan menyebabkan 11 orang, berumur antara 19 dan 36 tahun diberkas atas pergolakan itu dan didakwa merusuh. Insiden itu mengakibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dikecam oleh FIFA dan gesaan supaya semakan keselamatan stadium dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram