JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya bangkit daripada ketinggalan selepas menewaskan BG Pathum United dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.
Anak-anak buah Esteban Solari bermula perlahan selepas pasukan BG Pathum United lebih banyak membuat serangan ke arah kubu pertahanan JDT.
Turun tanpa tonggak utama seperti La'Vere Corbin-Ong dan Nathaniel Shio Hong Wan, JDT mengalami masalah di bahagian pertahanan belah kiri selepas Oscar Arribas mengalami kecederaan.
Dengan masalah yang dihadapi JDT, BG Pathum United memanfaatkan peluang di bahagian kiri jadi menerusi satu hantaran lintang sekali gus menterjemahkan gol menerusi Igor Sergeev pada minit ke-27 permainan.
Bersambung babak kedua, JDT bermula garang apabila mula mengasak kubu pertahanan pihak lawan dalam usaha untuk menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-53 pengadil perlawanan memberikan penalti buat JDT selepas pemain import BG Pathum United, Danilo Almeida Alves dikenakan layangan kad kuning kedua akibat bola terkena tangannya dalam kotak penalti.

Heberty Fernandes (kiri) cemerlang membantu JDT menewaskan BG Pathum United. — Shah Amirul
Peluang itu dimaanfatkan Bergson da Silva menerusi sepakan penalti pada minit ke-55 permainan.
JDT tidak lagi menoleh belakang apabila Bergson meletakkan Harimau Selatan di hadapan apabila sekali lagi meledak pada minit ke-65 selepas menerima hantaran daripada Matthew Davies.
Pada minit ke-85, Endrick dos Santos turut meletakkan nama selaku penjaring meskipun baru masuk ke dalam menggantikan Akhyar Rashid.
Sebelum pengadil meniupkan wisel penamat, Arif Aiman menerusi gerakan solo di sebelah kanan berjaya melepasi pertahanan BG Pathum United sekali gus melepaskan rembatan deras ke dalam gawang gol lawan.
Keputusan kekal 4-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Untuk rekod, ini merupakan perlawanan pertama 90 minit Natxo Insa selepas lama mengalami kecederaan sepanjang musim ini.
Walaupun merekodkan tiga mata, JDT terpaksa berpuas hati apabila hanya berada di tempat ketiga Kumpulan I sekali gus gagal layak ke pusingan seterusnya.

Feroz Baharudin (kiri) diberi kepercayaan oleh Esteban untuk membarisi tonggak pertahanan JDT. — Shah Amirul
Dalam ruangan komen, penyokong JDT berpuas hati dengan kebangkitan yang dipamerkan Harimau Selatan dalam menewaskan BG Pathum United.
"Baru nak sihat demam, tengok gol keempat JDT itu rasa nak menangis," kata Adibah Aishah.
"Paling padu, pemain lain macam tak nak 'passing' dekat dia, akhir sekali dia solo," ujar Amirox Mohd.
"Arif Aiman memang layak dapat MVP," jelas Amir Kamari.
"Ingatkan kelab Liga M sahaja kena dengan JDT, kelab Thailand pun kena 'tapau'," luah Mohd Baki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
