PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua pasukan yang bertanding di Liga Super musim depan, menaik taraf sistem padang stadium masing-masing.
Tunku Ismail berkata, setiap stadium yang menjadi venue perlawanan perlulah mempunyai padang perlawanan dan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan padang bertakung ketika negara dilanda musim hujan atau Monsun Timur Laut.
Sebagai contoh, TMJ turut memuat naik beberapa keping foto yang menunjukkan keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor berada dalam keadaan terbaik meskipun hujan lebat sejak pukul 1 petang sebelum perlawanan JDT dan BG Pathum United pada Selasa.
Keadaan padang SSI masih dalam keadaan baik dan berkelas dunia apabila tidak ditakungi air meskipun hujan lebat melanda negeri ini tengah hari tadi.
"Tiada lecak, tiada takungan air. Top drainage!. Soalan saya kepada MFL & FAM (Liga Bola Sepak Malaysia) dan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memandangkan liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan.
"Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain? Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan sistem perparitan yang bagus. Sudah sampai masa semua pasukan dan negeri memperbaiki padang stadium masing-masing," ciapnya di laman X.
Baru-baru ini, isu kualiti padang menjadi buah mulut peminat bola sepak tanah air apabila perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan yang kurang baik pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menawarkan geran bernilai RM1 juta untuk semua pasukan menaik taraf padang kepada jenis Zeon Zoysia.
Namun kos penyelenggaraan yang tinggi antara punca mereka menolak tawaran itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
