[VIDEO] Gara-gara bersorak dekat kawasan TFC, penyokong JDT kena hukum tukar jersi


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tangkap layar video penyokong JDT dipaksa untuk tukar baju selepas duduk di kawasan Terengganu.

TULAR di media sosial seorang penyokong Johor Darul Takzim (JDT) dipaksa menukar baju oleh pemain ke-12 Sang Penyu selepas dia bersorak kegembiraan ketika Harimau Selatan menjaringkan gol semasa menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Individu yang meraikan jaringan JDT itu berada di kawasan tempat duduk penyokong-penyokong TFC dengan memakai jersi Harimau Selatan.

Tindakan individu itu mengundang rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong TFC sehingga ada yang memarahinya kerana meraikan jaringan JDT.

Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan individu terbabit, penyokong-penyokong TFC memaksa pemain ke-12 JDT itu untuk menukar baju kerana dia memakai jersi Harimau Selatan.

Akur dengan permintaan penyokong-penyokong TFC, individu tersebut menyarung baju berwarna hitam yang tertulis 'we bleed black and white' walaupun dilihat tidak rela.

Beberapa minit kemudian, pihak polis datang ke tempat individu tersebut untuk membawanya jauh daripada kawasan itu sebelum insiden yang tidak diingini berlaku.

Dalam perlawanan itu, JDT berjaya menyamai rekod 'double treble' Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas menjuarai Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan TFC.

Pemain JDT yang berjaya menjaringkan gol ialah Bergson da Silva, Feroz Baharudin dan Arif Aiman manakala TFC pula menerusi Ivan Mamut sekali gus merekodkan keputusan 3-1 pada Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram