MUSIM Liga Super untuk tahun 2023 semakin menemui titik penamat, jadi tidak hairanlah jika ada aktiviti untuk mendapatkan pemain baharu bagi persediaan sesebuah pasukan.
Dengan kemasukan pemain-pemain baharu dalam pasukan, tentunya dilihat akan membantu di bahagian serangan mahupun pertahanan.
Baru-baru ini, kancah bola sepak disajikan dengan berita kurang senang apabila beberapa tonggak kelab besar Liga Malaysia (Liga M) mula angkat kaki dari pasukan masing-masing.
Bukan sahaja pemain tempatan malah import juga dilihat rancak mencari kelab yang baharu untuk musim depan.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga import yang disebut-sebut agar mencari pasukan yang berstatus besar dalam Liga M.
Penyerang berbisa Sang Saka Biru. — Facebook/MFL
1. Bruno Suzuki
Penyerang utama PDRM FC yang berasal dari Jepun itu dilihat mempunyai bakat tersendiri dan mampu menyerlah jika berhijrah ke kelab teratas liga Malaysia.
Selangor FC antara pasukan yang sesuai kerana skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dilihat masih kekurangan pemain di bahagian serangan.
Dengan adanya penyerang utama seperti Bruno dilihat mereka bakal memberi saingan lebih sengit pada musim depan.
Pemain berusia 33 tahun ini telah menjaringkan tujuh gol dalam 24 perlawanan yang dimainkan di Liga Super.
Sebahagian aksi Kamara cuba mengawal bola. — Facebook/MFL
2. Abu Kamara
Bukan sahaja Bruno malah satu lagi penyerang import yang dilihat mempunyai kelebihan dalam menjaringkan gol namun kurang menyerlah bakatnya bersama Kuching City FC.
Abu Kamara berjaya menjaringkan 13 gol dalam saingan Liga M musim ini walaupun bermain bersama pasukan yang menduduki antara tangga terbawah liga.
Sekiranya Kamara berpeluang untuk beraksi bersama kelab gergasi seperti Kedah Darul Aman FC atau Selangor FC musim depan, sudah pasti potensi pemain kelahiran Liberia ini lebih bersinar.
Pastinya, tidak mustahil Kamara akan meninggalkan skuad The Cats kerana kedudukan Kuching City yang kini berada di tangga tercorot liga.
Gol penyamaan yang dicetak oleh Vitor mencuri tumpuan penyokong Penang FC ketika berdepan Sang Penyu. — Facebook/MFL
3. Rafael Vitor
Pemain berusia 30 tahun yang berasal dari Brazil ini memainkan peranan penting di bahagian pertahanan pasukan Penang pada musim ini.
Kapten pasukan Penang ini merupakan tonggak penting kerana menjadi kesebelasan utama dalam kesemua perlawanan musim ini.
Pemain ini dilihat sesuai beraksi bersama pasukan Terengganu FC musim depan untuk berganding bersama Azam Azmi Murad di barisan pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram