'Sia-sia jika kami tak laksanakan tugas', Tomi mahu Sang Penyu bangkit, 'update' status 3 pemain


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Liridon Krasniqi (kanan) dilihat mampu membantu Sang Penyu benam Bali United. — Facebook/Terengganufc

SELEPAS tersungkur dalam aksi final Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) mahu bangkit dalam perlawanan terakhir Kumpulan G saingan Piala AFC berdepan Bali United pada Rabu.

Sang Penyu kini menduduki tempat kedua dalam kumpulan dengan meraih sembilan mata selepas lima perlawanan dan satu mata di belakang pendahulu Central Coast Mariners wakil dari Australia.

Pasukan Terengganu yang memegang rekod tanpa kalah kini perlu menewaskan Bali United dan mengharapkan pasukan Filipina, Stallion Laguna untuk membantu mereka dengan menewaskan pasukan Mariners di Stadium Binan Laguna, Filipina.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 08.48.03

Sebahagian sesi latihan pasukan TFC sebelum berdepan Bali United. — Facebook/Terengganufc

Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang bersedia untuk terus mengendalikan Terengganu musim depan berkata, kehilangan mata kepada Stallion selepas terikat 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 28 Oktober adalah satu tamparan buat pasukan pantai Timur itu dan berharap untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC.

“Jika kita lihat kepada jadual kita boleh menang. Jika Mariners menewaskan Stallion Laguna, mereka akan ke pusingan seterusnya.

“Tapi, kami akan fokus dalam perlawanan seterusnya, jika Stallion Laguna meraih keputusan yang baik tetapi kami tidak menjalankan tugas, ia tetap tidak berguna,” katanya.

Skuad Sang Penyu gagal menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang Piala Malaysia apabila tewas 1-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Penyerang Ivan Mamut dan pemain pertahanan Azam Azmi Murad terlepas latihan pada Isnin, manakala pemain pertahanan muda, Ubaidullah Shamsul tidak dapat bermain kerana kecederaan lutut yang dialami ketika tewas kepada Harimau Selatan.

“Ivan tidak dapat berlatih pada Isnin, dia tidak sihat. Saya agak bimbang kerana anak-anak buah saya sudah melakukan yang terbaik ketika berdepan JDT namun tewas," katanya lagi.

"Setiap perlawanan adalah penting kerana kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah. Niat utama saya adalah untuk meletakkan pemain yang sudah bersedia untuk bermain, saya tahu pemain sudah cukup kuat.

“Untuk perlawanan berdepan Bali United, ia akan sama seperti pada perlawanan pertama, ia akan menjadi sukar kerana kini berada di tempat kedua dalam Liga Indonesia," kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram