[VIDEO] Selain TMJ terpukau, ada insiden mencuit hati fans JDT rai gol Arif Aiman


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Jaringan Arif Aiman (kiri) berjaya memukau TMJ sekali gus membantu JDT meraih kemenangan berdepan BG Pathum. — Instagram/Officialjohor

PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tangga ketiga selepas membenam BG Pathum United 4-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa.

Dalam babak pertama tersebut, pasukan pelawat dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan beberapa tekanan ke gawang gol JDT dan berjaya mendahului menerusi jaringan Igor Sergeyev pada minit ke-28.

Bagaimanapun, enggan tewas di hadapan penyokong sendiri, JDT memulakan serangan demi serangan sehingga berjaya menyumbat empat gol menewaskan penjaga gol BG Pathum, Chatchai Budprom pada babak kedua perlawanan.

Anak-anak buah Esteban Solari meraih keputusan 4-1 hasil dua jaringan dari Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos masing-masing menjaringkan satu gol.

Di sebali kemenangan tersebut, tular video menunjukkan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kagum dengan jaringan yang dihasilkan oleh pemain muda, Arif Aiman ketika aksi berdepan BG Pathum United itu.

Menerusi satu perkongsian klip video yang dimuatnaik oleh Astro Arena, TMJ dilihat berdiri dan menepuk tangan dari tempat duduk penonton bagi meraikan jaringan pemain muda berbakat itu.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2022 itu mendapat perhatian TMJ selepas jaringannya secara gerakan solo dari kanan gawang gol BG Pathum berjaya menewaskan penjaga gol.

Reaksi spontan TMJ itu seakan kagum dengan aksi pemain berusia 21 tahun itu yang berjaya menjaringkan gol keempat pasukan Harimau Selatan yang juga gol ketiganya secara peribadi dalam saingan ACL.

Bukan sahaja berjaya membuat TMJ terpukau, penyokong setia Harimau Selatan turut dihiburkan dengan insiden pelanggaran antara Arif Aiman dan Heberty Fernandes.

"Heberty nak penalti, rupanya langgar teammate," kata @ArezSuarez07.

"Heberty buat apa tu, macam kelam kabut je," kata @NipisSkywalker.

"Heberty tengah buat apa tu, boleh pula time macam tu langgar Arif," kata @yakuelah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram