Diperli sekadar jaguh kampung, Esteban Solari tetap tabik kualiti JDT


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Bintang sensasi JDT, Arif Aiman ​​Hanapi (kiri) cuba melepasi dua pemain BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. — Bernama

MESKIPUN perjuangan Johor Darul Takzim (JDT) untuk mara ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) terhenti, namun pengendalinya, Esteban Solari tetap berbangga dengan apa yang ditampilkan pemainnya dalam kempen Kumpulan I.

JDT melakar kemenangan 4-1 ke atas wakil kelab dari Thailand, BG Pathum United pada perlawanan terakhir kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Anak-anak buah Esteban Solari meraih kemenangan itu hasil dua jaringan daripada Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos masing-masing menjaringkan satu gol.

Walaupun meraih kemenangan, JDT gagal mara ke peringkat kalah mati selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan I dengan sembilan mata daripada enam perlawanan.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 12.29.15

Jaringan Arif Aiman (kiri) berjaya membantu JDT meraih kemenangan berdepan BG Pathum. — Instagram/Officialjohor

Solari berkata, para pemain memberi komitmen yang tinggi sepanjang musim dan sememangnya layak diberikan pujian.

“Kami menentang pasukan terbaik dalam Liga Thailand dan ia bukan satu tugas yang mudah. Malah, pada separuh masa pertama, kami jelas bergelut untuk menyaingi corak permainan lawan apabila mereka beraksi dengan taktikal tersusun.

“Kami cuba sedaya upaya untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan dan ketika waktu rehat babak pertama kami bertekad untuk bangkit selepas ketinggalan 0-1. Masuk ke babak kedua, pemain saya menunjukkan corak permainan sebenar dan kembali konsisten dalam menerajui permainan.

“Malah pada separuh masa kedua, setiap pemain menggandakan usaha mereka dan apabila kami meraih sepakan penalti, ia adalah detik kebangkitan untuk meneruskan momentum permainan berintensiti tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan pemain Sepanyol, Natxo Insa, yang kembali beraksi kompetitif selepas hampir 10 bulan tidak beraksi akibat kecederaan, Solari gembira dengan kualiti permainan yang dipamerkan oleh kapten JDT itu.

“Sudah tentu saya gembira dengan aksi Natxo pada perlawanan itu kerana 10 bulan kami beraksi tanpanya dan selepas pulih dari kecederaan dia hanya turun dalam tempoh singkat malah ada ketika dia mengeluh kepenatan kerana tidak berada di tahap kecergasan yang optimum," kongsinya.

Selepas ini, Harimau Selatan akan menerima kunjungan Penang FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2023 pada Sabtu. — The Star/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram