Hai-O enggan lagi berteka-teka, mahu fokus musim depan bersama TFC


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Hairuddin mahu kekal di Terengganu FC pada musim depan. — Facebook/Terengganu FC

NAMA Hairuddin Omar menjadi sebutan pada musim ini selepas kecemerlangan ditampilkan oleh jurulatih muda itu.

Hal ini kerana, Hairuddin yang melatih skuad Terengganu FC II (TFC II) berjaya mencuri tumpuan apabila berjaya membimbing pasukan tersebut menjadi juara sulung Piala MFL.

Kejayaan tersebut hadir apabila TFC II berhasil menewaskan Johor Darul Takzim II (JDT II) dengan jaringan 1-0 menerusi jaringan minit akhir Isa Raman.

Hasil daripada kejayaan tersebut, nama Hairuddin berjaya memasuki pencalonan Anugerah Jurulatih Terbaik untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK) bersama-sama pengendali seperti Esteban Solari, Tan Cheng Hoe dan Yusri Che Lah.

Persembahan cemerlang Hairuddin telah menimbulkan spekuklasi mengenai masa depannya, adakah dia akan kekal bersama TFC II atau mula berhijrah?

Sebelum ini, terdapat cakap-cakap mengenai masa depan Hairuddin dengan namanya dijangka berhijrah ke JDT bagi mengendalikan skuad kedua mereka.

Namun begitu, Hairuddin sudah mula meredakan tekanan tersebut dengan kini fokus bekas penyerang kebangsaan itu adalah untuk musim depan bersama-sama skuad Penyu.

Di laman Instagramnya, Hairuddin memuat naik gambarnya bertemu dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bersama-sama kepimpinan TFC yang lain.

"Deal done. Tiada lagi spekulasi, jom fokus (pada) musim 2024," kata Hairuddin.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 17.35.35

Hantaran Hairuddin bertemu TMJ baru-baru ini. — Instagram/@hai_o20

Pertemuan antara Hairuddin dan TMJ dipercayai diadakan di sekitar ibu negara ketika kedua-dua pasukan bertemu untuk aksi akhir Piala Malaysia.

Dari hantaran Hairuddin itu turut meredakan spekulasi dia akan menyertai JDT kerana pertemuan dilakukan bersama-sama pengurusan TFC. Berkemungkinan, pertemuan tersebut lebih berkisar kepada perbincangan umum berkenaan bola sepak.

Jika benar seperti dikata, Hairuddin akan kekal bersama TFC II dengan misi membangunkan bakat-bakat muda yang ada di kelab tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram