BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan langkah kiri setelah tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi pembukaan Kumpulan A di Hangzhou, China pada Rabu.
Kedua-dua gandingan itu menampilkan permainan seimbang pada awal permainan menyaksikan mereka terikat 5-5, namun Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking ketiga dunia gagal menyaingi konsistensi pihak lawan sekali gus membolehkan pasangan dari Jepun tersebut meraih kemenangan set pertama 21-16.
Tumpas di set pembukaan, gandingan Aaron-Wooi Yik kemudian bangkit bertenaga pada set kedua untuk melakar kemenangan 21-14 ke atas beregu ranking ketujuh dunia itu.
Di set penentuan, Aaron-Wooi Yik ketinggalan 8-11 sebelum berjaya mengikat kedudukan 15-15, tetapi mereka gagal mengekalkan rentak permainan sekali gus tumpas 18-21 dalam pertarungan selama 62 minit.
Malaysia tidak mempunyai wakil dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita pada kejohanan penutup musim itu selepas pemain negara gagal berada dalam kelompok lapan terbaik dalam Race to BWF World Tour Finals 2023.
Aksi pembukaan Kumpulan A melibatkan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang pasangan keempat dunia dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping akan berlangsung pada Rabu malam. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram