'Liridon jangan sampai khianat TFC'


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Penyokong TFC mahu Liridon memberi 100 peratus komitmen ketika aksi menentang JDT dalam final Piala Malaysia. — Facebook/TFC

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia 2023 bakal menyaksikan pertemuan menarik antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) berdepan Terengganu FC (TFC).

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu akan menyaksikan ribuan penyokong yang datang untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Pastinya ketajaman penyudah jentera serangan Sang Penyu atau Harimau Selatan bakal menjadi penentu siapa akan keluar padang sebagai pemenang pada perlawanan akhir Piala Malaysia Jumaat ini.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berasakan dua tonggak bagi kedua-dua pasukan itu perlu diawasi sekiranya ingin meraih kemenangan sekali gus bergelar juara musim ini.

WhatsApp Image 2023-12-06 at 18.06.50

Ketajaman Arif Aiman pastinya ditagih untuk membantu JDT bergelar juara Piala Malaysia 2023. — Facebook/Officialjohor

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Bola Sepak Kita berkongsikan mengenai dua pemain yang wajar diberi perhatian sepanjang perlawanan tersebut iaitu Arif Aiman Hanapi dan Ivan Mamut.

“Menjelang pertemuan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu FC pada aksi final Piala Malaysia, beberapa pemain wajar diberi perhatian oleh kedua-dua pasukan.

“TFC perlu memberi tumpuan dalam mengekang kelincahan Arif Aiman Hanapi yang mampu memberikan impak kepada skuad Harimau Selatan dalam perlawanan tersebut.

“Kemampuan untuk menggelecek dan kelajuan dimiliki oleh Arif Aiman boleh memberi elemen kejutan kepada barisan pertahanan TFC.

“Sementara itu, JDT perlu berhati-hati dengan penyerang TFC, Ivan Mamut yang menonjol dalam saingan Piala Malaysia setakat ini.

“Mamut dikenali sebagai pemain yang serba boleh kerana memiliki kekuatan fizikal dan penyudah tajam sekali gus bakal memberi ancaman kepada JDT pada pertemuan tersebut.

“Pertembungan antara Ivan Mamut dan Arif Aiman pastinya menarik untuk disaksikan pada aksi final nanti,” katanya di Facebook.

WhatsApp Image 2023-12-06 at 18.09.42

Mamut (kiri) dikenali sebagai pemain yang serba boleh kerana memiliki kekuatan fizikal dan penyudah tajam.

Selain Ivan Mamut, Sang Penyu juga dijangka akan membariskan Liridon Krasniqi selepas pemain pinjaman JDT itu tidak lagi bersama Harimau Selatan berikutan kontraknya bersama bekas majikan itu sudah tamat 30 November lepas.

Susulan itu 'arkitek' kelahiran Kosovo berusia 31 tahun tersebut mendapat 'lesen' untuk beraksi pada aksi final Piala Malaysia berdepan JDT pada Jumaat.

"Jadi dia (Krasniqi) boleh beraksi di pentas final nanti, tapi terpulang kepada percaturan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sama ada mahu menggunakan khidmatnya atau sebaliknya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas mengenai status pemain itu.

Justeru, tentunya penyokong skuad Peteh mahu agar Liridon atau nama panggilannya Mat Don memberi 100 peratus komitmen untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.

"Harap Liridon beri aksi terbaik lawan JDT nanti. Jangan sampai khinanat skuad sendiri. Anda bukan lagi pemain JDT," ulas seorang penyokong, — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram