Bermula dari Cubprix, Qabil pahat memori indah di bumi Valencia


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Sebahagian aksi pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan di litar pelumbaan.

KEJUARAAN Siri Dunia MiniGP 2023 yang berlangsung di Valencia, Sepanyol baru sahaja melabuhkan tirainya.

Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP tersebut.

Qabil Irfan atau mesra dengan panggilan Qabil itu mula berkecimpung dalam sukan permotoran seawal usia empat tahun.

2023-FIM-World-MiniGP-Champion-Qabil-Irfan-5-BM

Qabil Irfan merupakan juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023.

Menurut bapa kepada pelumba berusia 11 tahun itu, Azlan Abd Rahman, Qabil mulai menunjukkan minatnya dalam sukan lasak berkenaan sejak berusia empat tahun dengan bermula bermain poket bike.

"Saya mula nampak bakat Qabil dari usia empat tahun di mana dia bermula bermain poket bike," katanya kepada Majoriti.

Ditanya mengenai sekiranya Qabil diberi pendedahan mengenai sukan tersebut, menurut bapa kepada juara Siri Dunia MiniGP itu, minat Qabil dalam sukan lasak sememangnya bermula dari dirinya sendiri.

Malah, ketika usia dua tahun lagi, Qabil sudah mula berjinak-jinak dengan sukan berkenaan kerana sering mengikuti ayahnya melatih beberapa orang pelumba Cub Prix.

"Qabil memang minat dari dirinya sendiri, memang dari kecil.

"Dari umur dia dua tahun lagi, dia selalu ikut saya training budak Cub Prix. Sebelum ini, saya pernah join Cub Prix juga," kongsinya.

2023-FIM-World-MiniGP-Champion-Qabil-Irfan-1

Qabil Irfan (tengah) bersama ayahnya, Azlan (kiri).

Berkongsikan kenangan pahit dan manis, bapa kepada tiga orang anak itu mengatakan kemenangan di Sepanyol itu merupakan momen manis yang dia dan keluarga tidak akan lupakan sampai bila-bila.

"Banyak kenangan pahit manis, susah senang keluarga kami tempuhi untuk Qabil dan antara kemenangan manis yang saya dan keluarga tidak dapat lupakan ialah Qabil diberi rezeki dengan kemenangan tersebut," katanya.

Di samping itu, anak kedua daripada tiga adik beradik itu turut berkongsikan idolanya dalam sukan permotoran.

Menurut ayahnya, Qabil mengidolakan dua pelumba motorsikal profesional terkenal iaitu Valentino Rossi dan Francesco Bagnaia.

"Idola Qabil dalam sukan motor ada dua individu iaitu Rossi dan Pecco," ujarnya lagi.

TOM_6822 as Smart Object-1

Pelumba cilik negara mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Bercakap mengenai masa depan pelumba cilik kelahiran Kuala Terengganu itu, Azlan berkata, anaknya itu sememangnya hanya mahu fokus kepada sukan MiniGP.

"Qabil memang nak fokus sukan MiniGP sahaja dan saya nampak bakat dia dalam sukan berkenaan," katanya.

Sebagai bapa, Azlan bagaimanapun berharap agar anaknya itu sentiasa berjaya dengan perjalanan dalam sukan permotoran tersebut.

"Harapan saya semoga semuannya berjalan lancar, masih panjang perjalanan Qabil dalam sukan permotoran ini dan semoga dia sentiasa cemerlang," ujarnya.

Tentunya, kejayaan yang dicipta oleh Qabil di persada dunia pasti buka mata semua peminat sukan permotoran untuk kembali merasa gerun dengan pelumba Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram