BEBERAPA minggu menjelang pembukaan jendela perpindahan Liga Super menyaksikan pelbagai khabar angin mula merebak di media sosial.
Perkhabaran tersebut sememangnya amat dinanti-nantikan penyokong yang sudah tidak sabar untuk melihat perancangan kelab masing-masing untuk musim akan datang.
Antara pasukan yang dikhabarkan bakal membawa masuk beberapa wajah baharu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kini berpotensi menamatkan saingan liga di tangga ketiga.
Mereka yang beraksi dengan baik sepanjang musim di bawah kendalian Nafuzi Zain hampir melayakkan diri ke pentas Asia sebelum tiket itu sah milik Selangor FC berdasarkan kedudukan Liga Super.
Meskipun sedikit bergelut dalam kejohanan domestik lain, potensi dipamerkan skuad Sang Kenari pastinya membuatkan ramai pemain sukar menolak peluang pada jendela perpindahan akan datang.
Rizal (kuning) dikatakan bakal kembali menyarung jersi skuad Sang Kenari musim depan.
Bek kanan Sabah FC, Rizal Ghazali dan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad merupakan dua nama yang rancak disebut sebagai rekrut baharu KDA FC.
Khabar angin berkenaan dikuatkan dengan hantaran pengamal media yang pastinya lebih mengetahui perancangan pasukan, namun memilih untuk tidak mendedahkannya sebagai tanda hormat terhadap kelab masing-masing.
Namun, baru-baru ini, skuad Sang Kenari sekali lagi dikaitkan dengan pemain baharu di posisi sayap pertahanan yang sememangnya cukup 'longgar' sepanjang musim.
Berdasarkan ciapan wartawan tempatan, T Avineshwaran, pasukan terbabit difahamkan berminat untuk mendapatkan pemain Penang FC, Adib Raop.
"Kedah dilaporkan berhasrat mengukuhkan lagi pilihan mereka di posisi bek sayap dengan Adib merupakan antara yang sedang diperhatikan kelab itu.
Adib mampu beraksi dalam beberapa posisi, terutamanya sebagai bek kanan. β Facebook/Penang FC
"Pemain berusia 24 tahun tersebut sudah bersama Penang FC selama dua musim selepas mendapatkan pendedahan ke dalam bola sepak profesional bersama Perak," tulisnya.
Musim ini, skuad Sang Kenari kerap menurunkan gandingan Ariff Farhan Isa dan Wan Amirul Afiq sebagai bek sayap dengan masing-masing bergelut untuk mempamerkan aksi konsisten.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan rekod pertahanan KDA FC dalam saingan Liga Super apabila mereka hanya dibolosi 27 kali dalam 25 perlawanan setakat ini.
Adib mengumpul 27 penampilan dalam kesemua pertandingan buat skuad Harimau Kumbang musim ini dengan dua bantuan jaringan direkodkannya.
Selain mampu beraksi sebagai pemain pertahanan kanan, dia juga boleh diturunkan sebagai pemain sayap memandangkan kelajuan serta kelincahannya sukar dibendung. β Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram