KEPULANGAN Perak FC ke divisyen teratas bola sepak tanah air menyaksikan mereka hanya mempamerkan kemampuan kurang memberangsangkan apabila pasukan tersebut bergelut hampir sepanjang musim.
22 mata yang dikutip daripada 25 perlawanan menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-11 Liga Super dengan satu aksi berbaki buat mereka mendaki satu anak tangga.
Prestasi tidak menentu itu bagaimanapun diubati dengan kemaraan bergaya mereka dalam saingan Piala Malaysia apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Meskipun usaha mereka tersebut diakhiri dengan kekalahan mengecewakan di tangan Johor Darul Takzim (JDT), penyokong pastinya berbangga dengan potensi dipamerkan.
Perasaan tersebut dibuktikan dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan dicatatkan bagi setiap hari perlawanan di Stadium Perak, Ipoh sepanjang musim.
Kehadiran penyokong ke Stadium Perak sememangnya memberangsangkan sepanjang musim. — Facebook/Perak FC
Hal itu turut dibuktikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin yang berbangga dengan catatan penyokong yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan secara langsung.
"Berbanding dengan pasukan lain, ia adalah satu angka yangg boleh dibanggakan dengan keadaan pasukan serta pemain-pemain yang bukanlah bintang
"Untuk tahun pertama kami menguruskan pasukan ini, angka ini boleh dijadikan sebagai penanda aras pendapatan," tulis Bobie menerusi satu hantaran di akaun Facebook TBG Super Fan.
Luahan kegembiraan itu dibuat berserta senarai lengkap jumlah kehadiran penyokong yang mencecah 100,489 penonton dalam setiap perlawanan, termasuk aksi skuad simpanan.
Berdasarkan laporan berkenaan, aksi Liga Super dengan penonton paling ramai adalah ketika Perak FC berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan pembukaan 25 Februari lalu.
Senarai penuh jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Perak, Ipoh sepanjang musim. — Facebook/TBG Super Fan
Perlawanan yang berakhir dengan kekalahan 1-4 itu menyaksikan 15,032 penyokong hadir memberikan semangat selepas mereka sebelum ini beraksi dalam Liga Perdana pada 2022.
Selain itu, kehadiran tertinggi direkodkan ketika skuad TBG berdepan JDT dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia Oktober lalu dengan mereka sekali lagi mengalami kekalahan 1-4.
"Terima Kasih warga Perak untuk sokongan anda dan kami akan cuba baiki apa yang kurang. Untuk saingan Liga Super tahun ini, hanya lima pasukan yang tidak mempunyai masalah gaji dan salah satunya adalah Perak.
"Walaupun tanpa sokongan mana mana pihak pada tahun ini, visi untuk mencapai kestabilan kewangan telah berjaya diusahakan," tulis Bobie lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram