MESKIPUN memberikan tentangan cukup baik dalam Liga Super pada awal musim, prestasi tidak menentu memasuki penghujung musim menyaksikan skuad Tok Gajah hanya mampu berada di tangga kelima.
44 mata yang dikutip dengan hanya satu perlawanan berbaki menyaksikan mereka menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan teratas buat kali pertama sejak 2019.
Meskipun ia merupakan peningkatan berbanding musim lalu, penyokong pastinya mengharapkan Sri Pahang FC dapat memberi tentangan lebih hebat pada saingan 2024/25.
Namun, cita-cita berkenaan hanya akan dapat dicapai sekiranya pasukan Pantai Timur itu mampu memperkuatkan skuad dengan membawa masuk pemain lebih berkualiti.
Lucas Silva difahamkan sudah meninggalkan skuad Tok Gajah beberapa minggu lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Setakat ini, skuad Tok Gajah seperti masih belum membuat sebarang perancangan memandangkan masih tiada pemain yang mula dikaitkan dengan mereka.
Tetapi, pendekatan sebaliknya pula berlaku apabila laporan media menyebut Sri Pahang FC sudah kehilangan beberapa pemain utama meskipun jendela perpindahan masih belum dibuka.
Penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva serta pemain tengah import, Kevin Ingreso merupakan antara yang difahamkan sudah tidak berkhidmat buat pasukan tersebut.
Jadi, dalam menggantikan beberapa pemain yang sudah tidak lagi milik skuad Tok Gajah itu, pihak pengurusan pastinya mahu mendapatkan calon terbaik berdasarkan bajet mereka.
Melihat kepada kemampuan Sri Pahang FC, terdapat tiga nama yang sesuai dibawa masuk dengan kebolehan masing-masing mampu memacu pasukan berkenaan musim depan.
1. Fazrul Amir Zaman
Pada pertengahan musim lalu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad pernah mengatakan bahawa dia berminat untuk membawa masuk pemain muda Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman.
Meskipun pelbagai usaha dibuat, pemain serba boleh tersebut memilih untuk kekal beraksi bersama skuad The Red Warriors (TRW) yang merupakan kelab di negeri kelahirannya.
Bagaimanapun, isu dalaman yang terus melanda kelab tersebut membuka peluang buat skuad Tok Gajah untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun terbabit.
Kebolehan Fazrul beraksi dalam beberapa posisi menjadi satu kelebihan buatnya. — Instagram/fazrulamir17
Kehadiran seorang pemain sayap mampu memberi dimensi baharu buat jentera serangan Sri Pahang FC yang sedikit bergelut dari segi kreativiti musim ini.
Selain itu, kebolehan Fazrul di hadapan pintu gol juga mampu menjadi satu tarikan untuk sesebuah pasukan mendapatkan khidmatnya dengan dia mencatatkan tiga jaringan dan satu 'assist' dalam 20 penampilan Liga Super 2023.
Bagaimanapun, usaha Sri Pahang FC untuk membawa masuk pemain berpotensi itu seakan-akan sukar apabila beberapa kelab lain juga dilaporkan berminat dengannya.
Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC merupakan dua pasukan yang mula dikaitkan dengan Fazrul selepas potensi dipamerkannya sukar dipandang enteng musim ini.
2. Hazwan Bakri
Baru-baru ini, bekas penyerang negara, Hazwan Bakri memberi bayangan bahawa dia akan meninggalkan Johor Darul Takzim (JDT) selepas tujuh tahun bersama kelab tersebut.
Pemain yang sering diletakkan di bangku simpanan itu dilihat semakin sukar untuk mendapatkan minit permainan apabila dia hanya diletakkan dalam pasukan belia musim ini.
Berdasarkan statistik, bekas penyerang Selangor FA tersebut hanya mengumpul lima penampilan Piala MFL 2023 dengan dua gol berjaya dijaringkannya.
Kekurangan minit permainan dilihat mendesak Hazwan untuk meninggalkan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, tidak hairanlah apabila Hazwan memberi klu bahawa dia bersedia untuk mencari pasukan baharu memasuki penghujung kariernya pada jendela perpindahan akan datang.
Meskipun tidak mendedahkan destinasinya, Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai kelab terbaik sekiranya penyerang itu mahu mendapatkan minit permainan dengan lebih kerap.
Hubungan baik antara JDT dan kelab Pantai Timur itu pastinya dapat memudahkan proses perbincangan yang pastinya dapat memberi keuntungan untuk kesemua pihak.
Selain itu, kekurangan penyerang dalam skuad Tok Gajah ketika ini memberi ruang buat Hazwan mengesahkan tempatnya dalam kesebelasan utama dengan kerap.
3. Nasrol Amri
Pada penghujung November lalu, bek muda Perak FC, Nasrol Amri mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan kelab tersebut selepas kontraknya tamat dengan lebih awal.
Keputusan berkenaan dibuat memandangkan pemain berusia 24 tahun terbabit sukar untuk meraih penampilan secara kerap dengan hanya sembilan penampilan Liga Super direkodkannya.
Di samping itu, Nasrol juga dilihat bergelut untuk meraih minit permainan memandangkan dia terpaksa bersaing dengan seorang lagi bek kanan muda, Aiman Khairul Yusni.
Nasrol sudah tidak lagi terikat dengan skuad TBG sejak hujung bulan lalu. — Facebook/Perak FC
Jadi, dalam usaha meneruskan kariernya dalam saingan Liga Super, Nasrol dilihat perlu mencari kelab baharu dengan segera pada jendela perpindahan akan datang.
Sri Pahang FC pastinya perlu mengambil peluang berkenaan dengan tiada calon terbaik untuk diturunkan sebagai pemain pertahanan sayap secara kerap.
Meskipun Fandi sering menurunkan Azrif Nasrulhaq sepanjang musim, status pinjamannya akan menyaksikan skuad Tok Gajah kehilangan khidmatnya dalam saingan Liga Super 2024/25.
Fandi juga pastinya tidak akan gusar dengan kehadiran seorang ubi muda dalam skuadnya dengan Sri Pahang FC kerap memberikan kepercayaan buat pemain kurang berpengalaman sepanjang berada di bawah kendaliannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram