TAHUN 2015 akan menjadi detik paling diingati oleh para penyokong Selangor FC kerana ia cukup istimewa buat mereka.
Mana tidaknya, pada tahun tersebutlah Selangor akhirnya berjaya melengkapkan Misi 33, sebuah sasaran yang telah disasarkan oleh pasukan untuk terus menjadi raja Piala Malaysia.
Pada malam tersebut, Selangor berjaya menang 2-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC hasil jaringan berganda Hazwan Bakri pada malam dibasahi hujan di Stadium Shah Alam, Selangor.
Kejayaan itu akhirnya hadir selepas beberapa kali Selangor mencuba untuk melengkapkan Misi 33. Gergasi Merah akhirnya berjaya menamatkan penantian 10 tahun Piala Malaysia apabila gelaran ke-32 hadir pada 2005.
Detik manis tersebut diraikan dengan penuh meriah oleh para pemain dan staf kejurulatihan Selangor termasuklah Menteri Besar Selangor pada ketika itu iaitu Datuk Seri Azmin Ali.
Ketika detik piala dijulang, Azmin yang turut bersama-sama ketua pasukan, Shahrom Kalam, jurulatih Mehmed Durakovic serta para pemain dan pegawai lain meraikan kejayaan Misi 33 berjaya dilaksanakan.
Namun begitu, di saat kesemua sedang bergembira, tanpa sedar, Azmin telah menjadi 'mangsa' kepada tunjalan kepala oleh seorang pemain Selangor.
Pemain tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Guilherme De Paula. Pemain naturalisasi kebangsaan itu begitu gembira meraikan kejayaan tersebut hinggakan dia menunjal kepada Azmin pada waktu tersebut.
Sama ada dia sedar atau pun tidak, De Paula saja yang tahu mengenai tindakannya itu.
Selepas lapan tahun, semuanya sudah berubah. Gelaran Piala Malaysia pada 2015 itu adalah kejuaraan terakhir mereka sehingga kini dan pencarian piala masih diteruskan.
De Paula kini beraksi di Liga M3 bersama-sama Melaka FC sebagai pemain pinjaman dari JDT.
Sementara Azmin tidak lagi menjadi Menteri Besar Selangor. Dia kini berkhidmat sebagai ADUN Hulu Kelang dan merupakan Ketua Pembangkang Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
