
KEYAKINAN yang dimiliki oleh pemain muda beregu negara, Haikal Nazri kini semakin meningkat ditambah dengan kejayaan mendapatkan kejuaraan berganda dalam dua kejohanan di India.
Haikal yang bergandingan bersama-sama Choong Hon Jian telah berjaya mencipta nama di India apabila merangkul dua kejuaraan iaitu Kejohanan Antarabangsa Syed Modi dan kejohanan Indian Masters yang diraih pada Ahad lalu di Guwahati, India.
Dalam perlawanan akhir, gandingan Haikal-Hoo Jian berjaya mengalahkan gandingan Taiwan, Lin Bing-wei-Su Ching-heng menerusi straight set 21-17, 23-21.
Hasil daripada kedua kejuaraan tersebut, Haikal mengakui hasil gandingan baharunya bersama-sama Hon Jian telah meningkatkan keyakinannya untuk bersaing lebih baik.
Gandingannya bersama-sama Hoo Jian telah membantu pasangan tersebut mula mendaki ranking Badminton World Federation (BWF) apabila menghampiri kedudukan 50 terbaik dunia.
"Saya berasa sungguh gembira kerana kami berjaya mengekalkan prestasi kami dan memenangi kejuaraan di Guwahati kerana saya percaya bukan mudah untuk memenangi kejuaraan berturut-turut," kata Haikal.
Haikal mengakui yang dirinya begitu mahukan kejuaraan di Indian Masters tersebut kerana itu adalah peluangnya untuk mendapatkan kejuaraan berturut-turut di bumi India.
Malah, prestij Indian Masters adalah lebih tinggi berbanding Kejohanan Antarabangsa Syed Modi kerana ia dikelaskan sebagai pertandingan Super 300 oleh BWF. Sementara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi pula diletakkan sebagai pertandingan Super 100 oleh badan induk badminton dunia tersebut.
"Bagaimana pun, bukannya mudah untuk kami pada kali ini kerana kami terlalu gementar.
"Mungkin ini berpunca daripada kemahuan kami untuk memenangi kejohanan tersebut jadi kami tidak dapat beraksi seperti biasa. Ia adalah perlawanan sengit. Kami mahu terus maju dan mensasarkan keputusan lebih baik dalam kejohanan lebih besar," ujar Haikal.
Gandingannya bersama-sama Hoo Jian jelas telah memberikan angin baharu buat pemain tersebut kerana dia sudah bertukar pasangan beregu tiga kali pada tahun ini.
Sebelum ini, Haikal bergandingan bersama-sama Wan Arif Wan Junaidi selama tiga tahun sebelum berpisah pada bulan Mac. Dia kemudiannya digabungkan dengan Nur Izzudin Rusmani namun kerjasama mereka hanya kekal sehingga Jun. — The Star/K. M. Boopathy
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram