PERSIAPAN Harimau Malaya menjelang kejohanan besar Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024 nampak gayanya sedikit terjejas.
Antara perancangan skuad kebangsaan adalah berdepan dengan gergasi bola sepak Asia iaitu Arab Saudi dalam aksi persahabatan yang dijadualkan pada 3 Januari.
Namun begitu, Arab Saudi dikatakan telah membatalkan perlawanan tersebut dengan mereka cuma mahu mengadakan tiga perlawanan sahaja sebelum mula beraksi di Qatar, menurut Asean Football.
Mereka merancang untuk mengadakan tiga perlawanan menentang Lubnan pada 4 Januari sebelum berdepan Palestin ketika 9 Januari.
Arab Saudi akan mengakhiri siri perlawanan persahabatan mereka dengan bertemu Hong Kong sehari selepas berdepan Palestin.
Akibat daripada situasi tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa mengubah perancangan bagi perlawanan persahabatan sebelum Piala Asia selepas Arab Saudi memilih untuk membatalkan ujian persahabatan bersama Harimau Malaya.
Keadaan itu juga menyebabkan bintang-bintang Harimau Malaya terlepas untuk berdepan dengan Arab Saudi yang kini dikendalikan oleh bekas pengendali Manchester City dan Itali iaitu Roberto Mancini.
Tambahan pula, mereka adalah salah satu daripada pasukan Asia yang mencuri tumpuan ketika di Piala Dunia 2022 apabila berjaya menewaskan Argentina 2-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan mereka.
Semakin dekat dengan kejohanan terulung benua Asia itu, skuad kendalian Kim Pan-gon mula mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan dengan pasukan handalan untuk membiasakan diri di Qatar kelak.

Malaysia perlu cari lawan baharu untuk perlawanan pemanas badan sebelum Piala Asia 2023. — Facebook/FAM
Sebelum ini, mereka pernah berdepan Syria dan China sebelum bertarung dengan India serta Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka.
Walaupun masa semakin suntuk, kesemua pasukan yang menyertai Piala Asia mahu melakukan satu lagi persiapan sebelum berkumpul di Qatar dengan Malaysia juga terdesak untuk mencari pengalaman berdepan pasukan handalan kerana cabaran menanti mereka bukannya mudah.
Malaysia akan berdepan Bahrain, Jordan serta Korea Selatan dalam kumpulan E sementara Arab Saudi bertemu Thailand, Republik Kyrgyz serta Oman bagi merebut penguasaan kumpulan F. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
