MASA semakin hampir dengan kejohanan terulung di benua terbesar dunia iaitu Piala Asia 2023 yang bakal diadakan dekat Qatar pada Januari 2024.
Harimau Malaya hadir sebagai pasukan bukan pilihan bakal beraksi tanpa tekanan hebat. Tetapi, pastinya skuad kendalian Kim Pan-gon ingin berikan persembahan terbaik dan menjadikan kejohanan tersebut satu kempen berjaya.
Sudah pasti, para pemain mahu memastikan nama mereka berjaya mencuri perhatian Pan-gon sekali gus meletakkan diri dalam senarai ke Qatar kelak.
Namun begitu, kelihatan satu nama sudah boleh dikatakan berada dalam senarai ke Piala Asia apabila statusnya kini berubah menjadi pemain naturalisasi.
Di media sosial, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara tidak sengaja 'terbocorkan' status naturalisasi pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales.

Morales (tengah) dilaporkan bakal ke Piala Asia. — Facebook/Kuala Lumpur City
Menurut TMJ, Morales bakal menyertai Pan-gon dan rakan-rakan ke Qatar sebagai sebahagian daripada para pemain Harimau Malaya di Piala Asia kelak.
"Romel Morales akan mewakili Malaysia di Piala Asia di Qatar," kata TMJ di Instagram.
Dari apa yang dikatakan oleh TMJ itu memberikan isyarat yang proses penaturalisasi Morales sebagai pemain Malaysia sudah pun dilakukan dengan sempurna.
Dalam masa yang sama, TMJ turut memberikan petanda selepas saja Piala Asia tamat, Morales akan terbang ke Malaysia dan menyertai JDT dan bukannya sebagai pemain KL City lagi.
"Dia kini seorang rakyat Malaysia. Dan.. (sambil meletakkan emoji cermin mata hitam," ujar TMJ.

Komen TMJ mengenai Morales. — Instagram
Meskipun komen TMJ itu telah dipadam, namun ia telah menjadi tular di media sosial dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Ini memberikan spekulasi mengatakan Morales bakal disambar oleh JDT pada musim depan. Ditambah dengan isu gaji tertunggak dalam kem KL City, tidak mustahil pemain tersebut akan menerim tawaran oleh Harimau Selatan.
Jika benar apa yang dikata, Morales bakal menyertai Paulo Josue, Sergio Aguero, Mohamadou Sumareh dan ramai lagi sebagai antara pemain naturalisasi skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
