[VIDEO] Pirlo nyaris putus nafas akibat cara anak buah rai kemenangan


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Pirlo (kanan) digoncang hebat oleh Esposito (kiri) ketika meraikan gol. — Agensi

JIKA anda pengikut setia bola sepak, pastinya kenal dengan Andrea Pirlo. Maestro dari Itali yang terkenal dengan ketenangan, elegan serta kehebatan dalam menghantar bola.

Kini, Pirlo tidak lagi bermain. Sebaliknya, sama seperti rakan seperjuangannya dulu, dia telah menjadi pengurus dan menguruskan sebuah kelab di Itali iaitu Sampdoria.

Sampdoria kini beraksi dalam saingan Serie B, liga divisyen dua Itali dan mereka berjaya mencatatkan kemenangan dalam pertemuan bertemu Lecco di tempat sendiri.

Pemain tuan rumah, Sebastian Esposito menjadi wira apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-39 dan 71 untuk meletakkan Sampdoria ditangga kesebelas liga.

Namun apa yang menjadi tumpuan adalah kejadian yang berlaku pada perlawanan tersebut selepas Esposito menjaringkan gol.

Pemain tersebut melakukan keraian yang menarik perhatian apabila berlari terus kepada Pirlo untuk berkongsi kegembiraan bersama pengurusnya, tetapi apa yang berlaku selepas itu mengejutkan semua.

Pirlo yang sudah mendepakan badannya untuk menyambut Esposito menerima kejutan apabila pemain tersebut memegang erat pakaian pengurus tersebut lalu mengoncang legenda Itali itu.

Goncangan Esposito itu dilakukan beberapa kali dengan kuat hinggakan Pirlo hampir rebah ke bumi kerana tindakan pemain tersebut.

Mujur tiada apa yang berlaku, Pirlo berjaya mengawal dirinya dan dia terus stabil sebelum menyuruh Esposito terus kembali ke padang untuk meneruskan permainan.

Situasi tersebut menarik perhatian ramai kerana Pirlo yang dikenali sebagai seorang berperwatakan cool dan tenang diperbuatkan sebegitu oleh pemainnya sendiri.

Mungkin kerana terlalu seronok menjaringkan gol, Esposito tidak sedar dia sudah melakukan sedemikian terhadap pengurusnya. Diharap, Pirlo tidak mendendanya kerana berbuat demikian.

Sampdoria merupakan kelab ketiga diuruskan Pirlo dalam karier pengurusannya yang masih hijau. Sebelum ini, dia pernah menguruskan Juventus serta kelab Turkiye iaitu Fatih Karagumruk. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram