Lepas 7 gol lawan PDRM, Kelantan cipta rekod bolos 145 jaringan dalam semua pertandingan


  • Podium
  • Ahad, 10 Dis 2023

Kelantan FC (jersi merah) kalah 2-7 kepada PDRM FC di Kelana Jaya. — Facebook/PDRM FC

DERITA pasukan Liga Super, Kelantan FC semakin tidak dapat dihalang lukanya apabila mereka berterusan menjadi pasukan belasahan.

Terkini, mereka kalah 2-7 kepada PDRM FC dalam aksi yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Dalam perlawanan yang dilihat Kelantan beraksi dengan lebih baik berbanding perlawanan terdahulu, mereka berjaya memastikan separuh masa pertama tidak dibolosi banyak gol apabila cuma melepaskan dua jaringan menerusi James Okwousa dan Izaaq Izhan.

Separuh masa kedua menyaksikan Sang Saka Biru menambah lima lagi gol menerusi Kyaw Min Oo, Nur Iqmal Harun sambil Bruno Suzuki mencipta hatrik.

Namun begitu, Kelantan mempunyai sesuatu untuk diraikan apabila berjaya menghasilkan dua gol menerusi Khala'if Naskam sambil Leornardo Rolon menghasilkan jaringan cantik menerusi rembatan knuckle ball dari situasi sepakan percuma.

Kekalahan yang dialami The Red Warriors itu sedikit sebanyak melebarkan lagi rekod tidak diingini mereka. Musim ini mereka telah melepaskan lebih daripada 100 gol dalam saingan Liga Super.

Usai perlawanan Liga Super menentang PDRM, Kelantan sudah melepaskan 115 gol namun rekod lebih mengecewakan dihasilkan oleh pasukan Pantai Timur tersebut dalam semua pertandingan.

Dalam kesemua pertandingan, Kelantan telah melepaskan lebih daripada 140 gol merentasi Piala FA, Piala Malaysia serta Piala Cabaran dan itu adalah rekod bolos paling banyak pernah dicatatkan oleh mana-mana pasukan di negara kita dalam saingan utama.

Catatan itu dinyatakan sendiri oleh pengulas Astro Arena, Aiman Roshizam yang menulisnya di laman X (Twitter) miliknya.

"Selepas PDRM 7-2 Kelantan, SERATUS EMPAT PULUH LIMA BOLOS," kata Aiman.

Sudah pasti, rekod tersebut bakal memakan sedikit masa untuk dipecahkan namun tidak akan ada mana-mana pasukan yang sanggup melepasi catatan yang dilakukan oleh Kelantan ini.

Dari perspektif PDRM pula, tujuh gol yang dihasilkan berjaya membantu mereka bagi mendapatkan jaringan untuk menyaingi Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC dalam zon pertengahan liga.

Juara Piala Cabaran itu pastinya ingin menamatkan saingan pada kedudukan tertinggi dalam Liga Super selepas mempunyai musim baik merangkul satu kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram