
PEMAIN pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi kini dilihat begitu hampir dengan perpindahan ke jaguh bola sepak Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT).
Azam yang beraksi bersama-sama Terengganu dalam kekalahan mereka pada aksi akhir Piala Malaysia kepada Harimau Selatan dijangka beraksi buat kali terakhir dengan kelab itu pada baki perlawanan Liga Super menentang Perak FC serta Bali United dalam Piala AFC.
Nama Azam dilihat menjadi rebutan beberapa kelab dengan sebelum ini gergasi Lembah Klang, Selangor FC turut mahukan mendapatkan pemain tersebut sewaktu pertengahan musim Liga Super.
Namun kini, segalanya seperti sudah menjadi nyata buat Azam apabila pemain itu akan menyertai JDT dengan hanya pengumuman rasmi saja belum dilakukan.
Menerusi laman perpindahan pemain Transfermarkt, profil Azam sudah pun mula mempunyai informasi perpindahannya ke JDT dengan pada laman utama pemain tersebut terselit tanda "to leave" atau bermaksud "bakal berpindah".
Azam kini diletakkan pada status "bakal berpindah". — Transfermarkt
Malah, di profil Azam juga sudah tertera logo JDT dan itu membuatkan spekulasi perpindahan pemain tersebut ke Selatan Semenanjung Malaysia semakin kencang.
Situasi tersebut nyata akan mengecewakan penyokong Terengganu yang begitu meminati persembahan pemain itu sejak bersama kelab pada 2019.
Rekod perpindahan Azam yang mengatakan dia akan ke JDT. — Transfermarkt
Dengan itu, Terengganu perlu mencari pengganti Azam supaya tidak ada kelompongan di bahagian pertahanan kanan pada musim depan.
Sementara bagi JDT, mereka berjaya mendapatkan pencabar buat Matt Davies di posisi tersebut. Dengan kehadiran Azam, ia akan menambahkan persaingan sihat pada posisi tersebut.
Musim ini, Azam telah melakukan 20 penampilan dalam Liga Super sambil merakamkan dua bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram