Isu Logeswaran: Penjelasan FAM tak diterima, ramai terus desak gunakan pengadil luar


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Status Logeswaran (empat dari kanan) yang tidak bertaraf FIFA terus mencetuskan 1,001 kontroversi di media sosial. — FAM

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada Jumaat lalu diwarnai beberapa keputusan pengadilan yang kurang memuaskan.

S Logeswaran yang dipilih mencipta pelbagai kontroversi sejak awal permainan apabila dia menghadiahkan penalti buat skuad Harimau Selatan pada minit keenam permainan.

Tidak cukup dengan itu, keputusannya untuk tidak memberikan kad merah kepada Jordi Amat turut dipertikaikan pelbagai pihak apabila bek tengah berkenaan dengan sengaja menghalang peluang jaringan Ivan Mamut.

Persembahan pengadil terbabit terus menjadi bahan bualan ramai, lebih-lebih lagi apabila penyokong bola sepak tanah air mendapati Logeswaran bukanlah bertaraf FIFA.

Keadaan tersebut menyaksikan pelbagai desakan dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang perlu memberi penjelasan atas pemilihannya pada perlawanan terbabit.

IMG_7150

Nazmi merupakan antara pengadil tempatan terbaik ketika ini. Facebook/FAM

Jadi, selepas mendengar keluhan ramai, persatuan tersebut tampil memberikan kenyataan bahawa Logeswaran merupakan pegawai terbaik memandangkan tiada lagi pengadil bertaraf FIFA mampu mengadili perlawanan tersebut.

"Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil," tulisnya.

FAM turut menjelaskan bahawa empat lagi pengadil bertaraf FIFA yang lain mempunyai perkaitan dari segi kenegerian dengan dua finalis berkenaan, sekali gus menutup peluang masing-masing.

Selain itu, Logeswaran juga dikatakan mempunyai prestasi baik dalam saingan peringkat domestik berdasarkan laporan penilai sepanjang musim.

Jadi, ciri-ciri tersebut menyaksikannya dipilih meskipun ia merupakan kali pertama buatnya mengadili perlawanan yang berprestij seperti itu.

2431278

Logeswaran memberikan beberapa keputusan meragukan sepanjang perlawanan Jumaat lalu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, penjelasan daripada badan induk bola sepak negara itu masih belum cukup untuk menepis desakan daripada penyokong yang berhasrat langkah berbeza dapat diambil.

Salah satu pendekatan terbaik yang dicadangkan adalah dengan melantik seorang pengadil luar dalam usaha mengelakkan situasi bias daripada terus berlaku.

"Pandangan saya, bincanglah di peringkat ASEAN untuk liga utama negara-negara Asia Tenggara wajib menggunakan khidmat pengadil dari negara lain.

"Jika tidak, isu mutu pengadilan negara tetap tidak akan berubah. Ini cuma pandangan saya sebagai peminat sukan bola sepak," kata Namaku Azmirul.

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Pengadil perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.Keputusan semasa Perak 0-0 Kedah.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Khidmat Okabe Takuto digunakan ketika perlawanan akhir Piala FA 2019.

"Perlawanan akhir lebih elok pilih pengadil dari luar negara untuk kawal permainan dengan lebih adil dan teliti," ujar Syahidan Ali.

"Kenapa tidak panggil pengadil luar sahaja? Semasa perlawanan akhir Piala FA (2019) boleh, kenapa final Piala Malaysia tidak boleh" Janganlah cakap tidak cukup masa," kata Mat Champ.

Sebelum ini, arena bola sepak tanah air pernah diserikan dengan kehadiran pengadil luar negara dengan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Kedah FA dan Perak FA merupakan salah satunya.

Meskipun ia tidak menyajikan sebuah aksi yang adil sepanjang permainan, ia sedikit sebanyak mengelak reputasi pengadil tanah air daripada terus terjejas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram