'Sengat' duo JDT makin hilang, disebut-sebut bakal sarung jersi TBG musim depan


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Perak FC setakat ini menghuni kedudukan ke-11 liga dengan merekodkan enam kemenangan. — Facebook/PerakFC

SETIAP pasukan Liga Super yang bertanding pada musim ini pasti sudah membuat persiapan dari segi perancangan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan memandangkan tinggal satu lagi perlawanan perlu diharungi oleh mereka.

Antara yang sudah memberi petunjuk bakal membuat rombakan besar-besaran ialah Perak FC dengan ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah memaklumkan akan menambah baik posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pengendali berusia 47 tahun berkenanan memaklumkan buat masa ini beberapa pemain sudah berhasil dikenal pasti untuk dibawa masuk ke skuad The Bos Gaurus (TBG) bagi menambah kekuatan khususnya bagi ketiga-tiga posisi tersebut.

Perubahan besar tersebut perlu dilakukan oleh staf kejurulatihan berikutan kelab Utara tanah air itu kini dibarisi lebih 50 peratus pemain bawah usia 23 tahun (B-23) selain diperkuatkan dengan lima pemain import.

yusri cl

Yusri diberi kepercayaan untuk mengemudi Perak FC pada musim depan. — Facebook/PerakFC

Sepadan dengan perkembangan dari pengendali Perak FC itu, pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad mengatakan bahawa skuad Seladang sudah mendapat dua pemain pinjaman untuk membantu memperkukuhkan pasukan berkenaan pada musim depan.

“Perak dijangka dapat dua pemain pinjaman bagi saingan musim depan. Satu di posisi penjaga gol satu di posisi pertahanan,” katanya.

Melihat kepada perkembangan daripada Hafizal, rata-rata penyokong The Bos Gaurus (TBG) mula mengaitkan dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) akan berhijrah ke Perak bagi mendapatkan semula minit permainan mereka di saingan Liga M.

Berdasarkan desas-desus yang tersebar di media sosial, berikut dua pemain Harimau Selatan akan menyarung jersi Perak pada musim depan;

1) Adam Nor Azlin

adam

Adam kini banyak beraksi bersama JDT II dan diberi kepercayaan untuk menjadi kapten pasukan untuk membimbing pemain-pemain muda. — Facebook/JDT

Sejak tidak mendapat tempat di skuad utama dalam saingan Liga Super, kelibat bek tengah berpengalaman JDT, Adam Nor Azlin banyak digunakan untuk pasukan simpanan Harimau Selatan bagi kejohanan Piala MFL pada musim ini dan sebelumnya untuk saingan Liga Perdana.

Berdasarkan statistik pada saingan musim ini, pemain berusia 27 tahun itu hanya mendapat peluang untuk tampil dalam satu aksi Liga Super iaitu ketika Harimau Selatan menentang Kelantan United dengan menyaksikan JDT menang 2-0 ke atas skuad Kijang Hijau.

Sejak berhijrah ke Harimau Selatan sejak 2018, pemain yang juga mampu beraksi di bahagian serangan itu hanya membuat 51 penampilan bersama pasukan utama sahaja.

Oleh itu, ramai penyokong dari pasukan lain saban tahun berharap agar Adam mula berhijrah ke pasukan lain bagi membantu mengembalikan semula kariernya yang semakin hilang dan tidak disebut-sebut lagi oleh para penyokong tanah air.

Sekiranya ketua pasukan JDT II itu hadir ke Perak FC, ia jelas dapat membantu masalah pertahanan yang dialami Perak FC pada pusingan pertama Liga Super musim ini, menyaksikan pasukan berkenaan bolos 52 gol dalam 25 perlawanan.

2) Muhammad Haziq Nadzli

haziq

Haziq tidak merekodkan penampilan bersama JDT pada musim ini. — Facebook/JDT

Sejak kemasukan Syihan Hazmi ke JDT pada awal musim ini, Haziq Nadzli yang pada awalnya diberi sebagai tanggungjawab untuk menjadi penjaga gol kedua semakin semakin hilang tempat untuk mendapatkan minit permainan.

Baru berusia 25 tahun namun Haziq sudah pun mewakili JDT hampir enam tahun dan banyak menghabiskan waktu dan menimba pengalaman bersama JDT II sebagai penjaga gol utama skuad kedua Harimau Selatan.

Walaupun prestasi semakin merudum berikutan kurang minit permainan namun jika penghijrahan ke Perak berhasil, ia pasti dapat mengembalikan semula ketangkasan Haziq untuk menjadi benteng terakhir skuad Seladang.

Di bawah kendalian Yusri, beliau sememangnya dikenali sebagai jurulatih yang mampu mengembalikan semula potensi pemain seperti situasi menimpa kepada Muhammad Azalinullah Mohammed Alias. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram