NAMA Faisal Halim menjadi sebutan dan rebutan pelbagai pasukan. Mana tidaknya, kelincahannya beraksi di bahagian sayap serta tajam mencari gol membuatkan banyak pasukan mahukan khidmatnya.
Beraksi cemerlang bersama-sama Selangor FC dan Harimau Malaya menjadikan Faisal adalah sebahagian daripada nadi harapan Malaysia untuk menyinar di Piala Asia 2023 yang akan diadakan di Qatar pada Januari 2024.
Dengan musim Liga Super semakin tamat, sudah pasti Faisal dihampiri oleh beberapa pasukan yang mahukan khidmatnya pada musim depan.
Ini sekali gus menaikkan persoalan, adakah dia akan kekal di Selangor atau bakal menyarung jersi Harimau Selatan seperti yang dikhabarkan? Mahukah Faisal terus bersama Gergasi Merah di Kelana Jaya dan membantu mereka bersaing bersama-sama pasukan handalan Asia dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2)?
Dalam sebuah video yang tular di X (Twitter), Faisal telah mendedahkan bagaimana pendiriannya terhadap masa depannya di Selangor bagi musim depan.
Dengan tanpa berkata "ya" atau "tidak", pemain sayap berasal dari Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu menyerahkan segalanya kepada pengurusan Selangor yang ditunjangi ketua pegawai eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon.
"(Semunya) atas bos, atas bos," jawab ringkas Faisal sambil Johan turut tertawa kecil mendengar respons tersebut.
Daripada jawapan Faisal, boleh dikatakan Selangor mempunyai kelebihan dalam usaha untuk mengekalkan Faisal. Hal ini kerana, pemain tersebut menyerahkan sepenuhnya masa depannya kepada pengurusan Gergasi Merah.
Sekiranya tawaran yang diberikan sesuai dengan kemahuan kedua-dua pihak, tiada masalah untuk Faisal dan Selangor terus bersama-sama bekerjasama bagi mencabar pelbagai kejuaraan musim depan.
Faisal menjawab pertanyaan demikian selepas ditemui di Bonda's Kitchen, Sekinchan selepas bertemu dengan beberapa penyokong Selangor yang terkesan akibat rusuhan peminat sewaktu aksi Liga Super bertemu Perak FC.
Dalam pertemuan tersebut, Faisal meluangkan masa bersama penyokong sambil membawa cenderamata rasmi kelab untuk diberikan kepada mereka.
Selain Faisal dan Johan, pemain pertahanan, Sharul Nazeem turut hadir bersama-sama untuk menyantuni penyokong Gergasi Merah yang terkesan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram