'Pengadil luar cadangan baik jaga prestij Piala Malaysia, tapi...'


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Zulakbal melihat terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai sebelum keputusan memilih pengadil luar negara dibuat.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengeluarkan kenyataan berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil 8 Disember lalu.

Pengadil yang dilantik, S Logeswaran didakwa ramai beberapa kali memberikan keputusan meragukan sehingga menjejaskan prestij perlawanan disaksikan puluhan ribu penyokong itu.

Situasi itu menyaksikan orang ramai mempertikaikan pemilihannya yang dilihat tidak mempunyai pengiktrifan bertaraf FIFA seperti mana diharapkan.

Jadi, dalam menjawab persoalan yang timbul, badan induk bola sepak negara terbabit menjelaskan bahawa Logeswaran dipilih kerana prestasinya yang baik sepanjang musim.

Selain itu, FAM turut menjelaskan bahawa enam pengadil bertaraf FIFA tidak dapat dipilih akibat tugasan luar serta kemungkinan berlakunya isu pilih kasih terhadap dua finalis tersebut.

WhatsApp Image 2023-12-12 at 17.36.45

Isu penarikan Jordi Amat terhadap Ivan Mamut terus menjadi bahan bualan hangat.

Penjelasan berkenaan bagaimanapun masih belum meredakan kemarahan khalayak apabila mereka berasakan pilihan terbaik adalah dengan melantik seorang pengadil luar negara.

Ini kerana mereka berasakan kecemerlangan pengadil dari Jepun, Takuto Okabe ketika perlawanan akhir Piala FA 2019 menjadi satu petanda bahawa pendekatan itu adalah yang terbaik buat arena bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, menurut pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, cadangan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana beberapa perkara masih perlu dinilai.

"Pengadil luar merupakan cadangan yang baik untuk mengekalkan prestij FIFA dalam perlawanan akhir kerana kita mahu menjaga prestij Piala Malaysia dengan membekalkan pengadil terbaik.

"Tetapi, ia memerlukan pemerhatian yang baik oleh pihak Jawatankuasa Pengadilan FAM kerana ia akan menjejaskan peluang pengadil tempatan untuk mengadili perlawanan akhir," katanya kepada Majoriti.

okabe

FAM pernah memilih untuk menggunakan khidmat pengadil luar beberapa tahun lalu.

Antara keputusan Logeswaran yang menjadi pertikaian adalah apabila dia tidak melayangkan kad merah kepada bek tengah JDT, Jordi Amat selepas pemain tersebut menggagalkan peluang Ivan Mamut menjaringkan gol.

Isu tersebut bagaimanapun tidak dijawab FIFA meskipun orang ramai terus mendesak supaya penjelasan lebih mendalam dapat diberikan FAM.

Dalam masa sama, Zulakbal yang merupakan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut bersetuju dengan pandangan umum bahawa FAM perlu membantu lebih ramai pengadil mendapatkan pengiktirafan berstatus FIFA.

"Saya fikir memang baik cadangan itu kerana baguslah jika kita miliki beberapa pilihan. Tetapi, kerana saya tidak begitu arif tentang proses perolehan, saya fikir ia pasti ada kriteria tersendiri.

"Mereka pasti ada tapisan yang dibuat, namun kerana kita ada tenaga pengajar dalam FIFA seperti Subkhiddin (Salleh), mereka semestinya mampu menasihati FAM cara untuk mendapatkannya," ujar Zulakbal lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram