HEP perjelas sebab Jordi Amat patut kena kad merah


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Ivan Mamut (jersi putih) dijatuhkan dalam kotak penalti ketika perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan JDT pada Jumaat. — Stadium Astro

PERTAHANAN Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat sepatutnya dilayangkan kad merah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC pada Jumaat.

Dalam aksi yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pertahanan Indonesia itu telah melakukan kekasaran dengan menjatuhkan penyerang import Terengganu, Ivan Mamut dalam kotak penalti.

Amat menjatuhkan Mamut dengan begitu kasar namun pengadil perlawanan, S. Logeswaran, pada mulanya teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada Terengganu.

Namun selepas ditekan dan diberitahu pengadil keempat perlawanan, dia berubah fikiran dan memberikannya sekali gus membenarkan skuad Penyu menyamakan kedudukan pada minit ke-21. Namun, mereka kemudiannya tewas 1-3 menerusi gol tambahan Feroz Baharudin dan Arif Aiman.

Akan tetapi, muncul pertikaian mengapa Logeswaran hanya sekadar memberikan penalti dan bukannya layangan kad kepada Amat. Hal ini kerana, cara Amat menjatuhkan Mamut begitu kasar dan ia jelas bagi mereka yang menyaksikan di stadium atau televisyen.

Di X (Twitter), sebuah akaun iaitu Hal Ehwal Pengadil (HEP) menjelaskan yang Amat sepatutnya dibuang padang. Kesalahan yang dilakukan oleh Amat itu adalah "menafikan peluang jelas untuk menjaringkan gol" atau denying goal-scoring oppurtunity (DOGSO).

Hal ini kerana, Amat tidak dilihat cuba untuk mendapatkan semula bola daripada penguasaan Mamut, sebaliknya dia hanya berniat menghentikan Mamut daripada menjaringkan gol. Oleh itu, dia sepatutnya dilayangkan kad merah.

409040296_375840198171303_7772774415267543654_n

Mamut (kiri) dan Amat (tengah) mempunyai pertarungan sengit pada aksi akhir di Bukit Jalil. — Facebook/MFL

"Kalau (ada) cubaan untuk bermain dan mendapatkan bola, hukuman boleh dikurangkan ke kad kuning atau tiada kad. Tapi untuk kesalahan tersebut, ia adalah clear DOGSO dan kad merah," kata akaun HEP.

Menurut Law of the Game, satu-satu situasi dikira sebagai DOGSO apabila seorang pemain melakukan kekasaran terhadap pihak lawan dalam kotak penalti sendiri bertujuan untuk menafikan peluang menjaringkan gol.

Perbuatan seperti menolak, menarik, menahan dan tiada niat untuk bermain bola adalah beberapa tindakan DOGSO yang boleh dikenakan kad merah oleh pengadil.

Kad kuning hanya akan diberikan sekiranya pemain itu cuba mengeluarkan bola dari kawasan penalti tersebut tetapi tersilap langkah dengan mengasari pemain lawan.

Prestasi Logeswaran dalam perlawanan akhir pada Jumaat nyata mengecewakan dengan kritikan pedas dilemparkan kepadanya dari setiap sudut.

Malah, pemerhati sukan, T. Avineshawaran, tidak ketinggalan mengkritik persembahan pengadil tersebut.

"20 tahun lepas, saya bermain bola di padang dekat Ipoh yang begitu cantik. Padang tersebut tidaklah begitu baik, tapi bukanlah seteruk di Bukit Jalil.

"Sementara pengadil, naratifnya tidak pernah berubah dalam bola sepak Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram