'Lebih 10 boleh score', kepak Kenari risau KDA FC jadi 'lauk santapan' Harimau Selatan


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Kedah Darul Aman FC meraih kemenangan dramatik ke atas musuh tradisi Penang FC di Stadium Bandaraya. — Facebook/Kedah Darul Aman

SELEPAS berjaya menewaskan Penang FC dalam aksi Liga Super pada Selasa, tumpuan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tertumpu pula untuk perlawanan getir bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu.

Sebelum ini, KDA FC berjaya meraih tiga mata penting dalam pertembungan sesama kelab Pantai Utara dengan Sang Kenari berjaya menang dengan jaringan 2-1.

Fadzrul Danel meletakkan KDA FC di depan pada peringkat awal permainan sebelum Soony Saad menyamakan kedudukan untuk Harimau Kumbang.

Perlawanan menjadi panas di separuh masa kedua dengan pengadil perlawanan, S. Logeswaran memberikan kad kuning kedua kepada Adib Raop sekaligus pemain itu dilayangkan kad merah.

Saat perlawanan hampir pasti menjadi seri buat kedua-dua pasukan, muncul Moses Atede pada masa kecederaan separuh masa kedua menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan buat KDA FC di Stadium Bandaraya.

Kini, kemenangan ke atas musuh tradisi sudah menjadi sejarah dan fokus terarah pula untuk bertemu JDT. Akan tetapi, para penyokong KDA FC jelas tidak yakin dengan keupayaan Sang Kenari untuk berdepan JDT yang nyata lebih hebat dan mantap.

Terdapat penyokong KDA FC yang risau pasukan mereka akan 'dilaukkan' oleh JDT seperti mana yang dilakukan Harimau Selatan terhadap Kelantan FC pada aksi Piala Malaysia.

Ada yang gerun JDT akan membuatkan penjaga gol KDA FC terpaksa mengutip bola sebanyak lebih daripada 10 kali dari gawang mereka dek kerana gagal menghalang serangan berbahaya penyerang-penyerang Harimau Selatan.

"Kalau permainan macam semalam (aksi bertemu Penang FC) lebih daripada 10 JDT boleh score," komen penyokong bernama Shidie Abu.

"10 gol kena lauk," tulis Adib Aiman ringkas.

Ada juga penyokong yang berasakan jika KDA FC kalah dengan maksima bolos lima jaringan, itu sudah boleh dikira sebagai satu keputusan baik untuk skuad Nafuzi Zain.

"(Kalah) tak lebih lima gol dah kira nasib baik," ujar Noor Mohd Noor.

"Siap sedialah, busuk-busuk lima biji (KDA FC bolos)," kata Izwan Ibrahim.

kedahjdt

Harimau Selatan terlalu hebat untuk Kelantan FC hingga menggerunkan penyokong Sang Kenari. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam pada itu, ada juga penyokong yang tidak rela melihat JDT menang di Stadium Darul Aman kerana jika ianya berlaku, Harimau Selatan akan sah bergelar juara Liga Super.

Mereka meminta agar Nafuzi dan skuadnya beraksi sehabis mungkin bagi mencalarkan rekod cemerlang JDT yang masih belum kalah dalam saingan liga musim ini.

"JDT menang terus (jadi) juara Liga Super. Jangan bagi JDT menang," kata Mustafa Moktar.

"Apa-apa pun lawan dululah. Sejarah perlawanan yang lepas, memang kita tak boleh nak ubah tapi masa depan kita boleh ubah. Mari kita sama-sama rosakkan rekod cemerlang mereka, harap pengadil pun jalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya," tulis Abdul Hazani panjang lebar.

Jika Sang Kenari berhasil mencipta kejutan terhadap JDT, mereka akan berada dalam landasan terbaik untuk mengejar Selangor FC yang berada di tangga kedua Liga Super.

Kedah akan melayan kunjungan JDT di Darul Aman pada 26 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram