[VIDEO] Kepulangan Badak, tamparan Luciano warnai aksi hangat semifinal Piala Malaysia di Ipoh


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Shahrul Saad menjaringkan satu gol untuk membantu JDT menundukkan skuad TBG di tempat lawan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

AKSI pertama separuh akhir Piala Malaysia 2023 menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) mudah meraih kemenangan 4-1 ketika bertemu Perak FC pada Khamis.

Seperti mana dijangkakan, skuad Harimau Selatan yang hadir selaku pasukan pelawat menggegarkan gawang lawan pada minit ketujuh menerusi Oscar Arribas.

Kelebihan mereka kemudiannya digandakan selepas itu menerusi gol cantik Arif Aiman Hanapi pada minit ke-12 yang menewaskan penjaga gol skuad The Bos Gaurus (TBG), Farhan Majid.

Kedudukan kekal sehingga penghujung babak pertama sebelum satu insiden hangat mewarnai aksi di Stadium Perak, Ipoh apabila Arif dilihat mengasari bek kiri tuan rumah, Afif Asyraf.

Perkara itu menyebabkan beberapa pemain kedua-dua pasukan hadir mengerumuni pengadil perlawanan, S Logeswaran, termasuk kapten Perak FC, Luciano Guaycochea.

Situasi berubah hangat apabila bek kanan JDT, Matt Davies berkata sesuatu kepadanya sebelum pemain kelahiran Argentina tersebut bertindak menampar halus pipi pemain lawan itu.

Bagaimanapun, Luciano terselamat daripada layangan kad merah apabila pengadil tidak menyedari insiden berkenaan dengan dia hanya diberikan kad kuning.

Memasuki babak kedua, perlawanan terus sengit dengan masing-masing cuba mendapatkan jaringan keselesaan dengan Syihan Hazmi dan Farhan dicuba berkali-kali.

Namun, tuah akhirnya berpihak kepada pasukan kendalian Esteban Solari yang melebarkan jurang menerusi gol pemain gantian, Shahrul Saad pada minit ke-71.

Jaringan itu sudah tentu menjadi bahan bualan hangat memandangkan bek tengah tersebut pernah menabur bakti buat skuad TBG untuk beberapa tahun sebelum ini.

393695028_339378758642506_6777706313558191900_n

Luciano (kiri) merupakan salah satu watak utama dalam aksi antara JDT dan Perak FC pada Khamis. Facebook/Perak FC

Dia kemudiannya hanya meraikan gol tersebut secara sederhana dengan orang ramai menterjemahkannya sebagai satu bentuk penghormatan buat kelab lamanya.

Asakan demi asakan buat skuad TBG akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-76, Luciano sekali lagi menjadi watak utama dalam perlawanan berkenaan.

Selepas menerima umpanan kemas daripada Wan Zack Haikal Wan Noor, kapten skuad TBG berkenaan tenang menewaskan Syihan dengan satu percubaan kaki kanan.

Kegembiraan buat Perak FC bagaimanapun tidak kekal apabila empat minit selepas itu, skuad Harimau Selatan sekali lagi menggegarkan gawang menerusi sungkitan kemas Nazmi Faiz Mansor.

Kedudukan 4-1 berpihak kepada pasukan pelawat kekal sehingga penghujung perlawanan dengan kira-kira 21,000 penonton jelas berpuas hati dengan perlawanan berkenaan.

Aksi timbal balik selepas ini bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 2 November dengan JDT dilihat pasukan pilihan untuk mara ke pentas akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram