[VIDEO] Disahkan alami ACL, tapi Ubai tak mahu salahkan padang 100 peratus


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Ubaidullah beraksi dengan baik sebelum terpaksa dibawa keluar pada minit ke-83 permainan akibat kecederaan. — Facebook/Terengganu FC

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat lalu mencuri perhatian ramai apabila keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur tidak berada di tahap memuaskan.

Venue yang sebelum ini digunakan untuk penganjuran konsert Coldplay tersebut dikatakan tidak sempat diselenggara sebelum aksi cukup penting itu.

Selain keadaan padang yang sukar diterima dari segi fizikal, permukaannya yang tidak rata meningkatkan risiko kecederaan terhadap pemain.

Jangkaan ramai pihak itu sememangnya tepat apabila bek tengah Terengganu FC, Ubaidullah Samsul Fazili menjadi antara 'mangsa' terhadap situasi padang yang tidak memberangsangkan tersebut.

Dia yang diletakkan dalam kesebelasan utama terpaksa dikeluarkan pada minit ke-83 setelah keadaan padang membuatkan pemain berusia 20 tahun berkenaan terjatuh sebelum bertembung dengan penjaga gol sendiri, Suhaimi Hussin.

WhatsApp-Image-2023-11-24-at-17.27.48

Keadaan padang semasa aksi final Piala Malaysia menerima kecaman ramai.

Ubaidullah kemudiannya dilaporkan mengalami kecederaan ligamen anterior krusiata (ACL) tahap 1 meskipun perkara itu masih belum disahkan kelab Pantai Timur terbabit.

Perkhabaran tersebut sememangnya menyebabkan lebih ramai penyokong bola sepak tanah air mendesak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memberi kenyataan terhadap kegagalan masing-masing dalam mempersiapkan venue pada masanya.

Namun, Ubaidullah berkata, dia tidak mahu menyalahkan keadaan padang secara 100 peratus dengan dia turut berasakan kecederaan merupakan lumrah dalam dunia bola sepak.

"Saya nampak nasib tidak menyebelahi saya kerana ia sudah berlaku. Tetapi, saya cuma berharap ia tidak begitu serius walaupun saya risau pada awalnya.

"Selepas alami kecederaan itu, saya cuba untuk kekal di atas padang. Namun, saya berasakan adalah lebih baik untuk saya keluar dan tidak memburukkan lagi keadaan," katanya.

Ubaidullah sebelum ini lebih kerap diturunkan dalam skuad Piala MFL Terengganu FC dengan dia juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dalam perlawanan akhir menentang JDT II.

Kecederaan dialami beberapa tonggak pertahanan skuad Sang Penyu menyaksikan pemain tersebut diturunkan dalam aksi final meskipun usianya yang muda.

"Saya sudah berjaya menembusi skuad utama Terengganu FC dan saya mahu kekalkan tempat saya. Saya perlu bekerja lebih keras dan terus merendah diri.

"Sasaran utama saya pastinya adalah untuk menyertai skuad kebangsaan. Saya mahu mencuri perhatian dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan harapnya dapat diserap ke dalam pasukan senior," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram