TONGGAK Johor Darul Takzim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan melalui tahun yang hebat sebagai pemain tengah namun sehingga kini dia masih tidak dilihat melakukan aksi debut bersama Harimau Malaya.
Peminat bola sepak yang mengikuti perkembangannya mengharapkan pemain berusia 23 tahun itu dimasukkan ke dalam skuad Piala Asia Malaysia tahun depan walaupun Hong Wan tidak menyertai kempen kelayakan pasukan itu.
Tetapi berkat persembahannya dalam pertandingan domestik terutama dalam Piala Malaysia, jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon mungkin berminat untuk memilih bekas pelatih skuad remaja Wolves itu.
Musim ini, Hong Wan sudah membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih, dan terbaharu Piala Malaysia yang mana JDT menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Hong Wan ketika aksi menentang Terengganu dalam aksi Piala Malaysia pada Jumaat lalu. — Facebook/JDT
Hong Wan sudah bermain 39 kali dalam semua pertandingan, membuktikan dirinya sebagai pemain penting di bahagian tengah untuk Harimau Selatan.
Dengan persembahan cemerlangnya berkenaan, ramai penyokong optimis bahawa momen bersejarah Hong Wan mendapat kaps pertama untuk Malaysia akan tiba dan dia turut sabar menunggu peluang untuk menyarung jersi hitam kuning suatu hari nanti.
"Kami bermain untuk peminat dan mereka menyokong kami sepanjang masa. Panggilan kebangsaan? Ia akan berlaku apabila ia berlaku. Saya hanya gembira bermain bola sepak di mana sahaja saya berada.
"Sekarang, saya gembira bermain untuk jurulatih (Esteban Solari) dan bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Ia adalah satu keseronokan bermain untuk JDT.
"Sudah pasti, ia adalah satu penghormatan jika jurulatih Kim Pan-gon memanggil saya, dan saya akan mengambilnya sebagai satu cabaran. Jika saya tidak dipanggil, tidak mengapa, kita akan lihat apa yang berlaku dalam masa terdekat. Saya pasti ia akan berlaku satu hari nanti," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram