BARU-BARU ini semangat penyokong Selangor FC untuk menyaksikan pasukan kesayangan berentap di pentas Asia kian pudar apabila muncul khabar angin mendakwa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berhubung slot kedua kelab untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) II.
Walaupun skuad Gergasi Merah sudah mengesahkan kedudukan mereka sebagai naib juara Liga Super 2023 selepas menang 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini, namun ia masih belum memberi jaminan ke pentas Asia buat kelab Lembah Klang berkenaan.
Tidak sampai seminggu dakwaan berkenaan mencemaskan penyokong Gergasi Merah, wartawan dari Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pula membawa berita gembira apabila memaklumkan slot ke ACL II itu kekal menjadi milik skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
"Selangor tetap ke pentas Asia, tak ada perubahan seperti yang dah diputuskan Jun lalu. Difahamkan, official announcement sekali jalan dengan JDT selepas tamat final Piala Malaysia," tulisnya menerusi laman X pada Rabu.
Tidak kira apapun status Selangor FC ke pentas Asia, persediaan untuk memperkukuhkan pasukan tetap harus dititikberatkan dan antara nama yang mula disebut-sebut untuk menyertai The Red Giants pada musim depan ialah ubi muda kelahiran Ghana, Jordan Ayimbila.
Nama Ayimbila masih segar dalam ingatan penyokong Selangor FC berikutan bek kiri itu merupakan bekas import Gergasi Merah yang baru sahaja meninggalkan pasukan berkenaan pada musim 2022.
Walaupun ada sebilangan penyokong tidak bersetuju dengan kehadiran semula Ayimbila namun beberapa kelebihan pemain muda itu mampu membantu Selangor tampil lebih mantap dari segi pertahanan pada musim 2024 yang dijangka bermula April.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga kelebihan Ayimbila yang dapat menjadi manfaat kepada Gergasi Merah pada musim depan;
1) Muda
Ruventhiran antara bek kiri muda Gergasi Merah pada musim ini. — Facebook/FAM
Salah satu kelebihan pemain berkenaan adalah usianya yang baru menjangkau 22 tahun dan selalunya prospek seperti Ayimbila akan dipertimbangkan untuk menjadi aset jangka masa panjang pasukan dan berkemungkinan akan mendapat tawaran kontrak melebihi setahun.
Sekiranya Ayimbila kembali ke pelukan Gergasi Merah, pemain berketinggian 1.85 meter itu akan bersama-sama Fazly Mazlan dan V. Ruventhiran untuk memperkuatkan bahagian pertahanan kiri Selangor FC.
Dibandingkan dengan dua bek kiri Selangor, Ayimbila mungkin hanya perlu bersaing dengan Ruventhiran dari segi usia susulan bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City itu juga berusia 22 tahun, sama seperti bekas pemain Accra Lions berkenaan.
Persembahan bertenaga dan kelajuannya ubi muda itu di atas padang sudah pasti akan memberi masalah kepada bahagian serangan lawan, selain ketinggiannya mudah untuk memenangi bola dalam situasi sepakan sudut.
2) Mudah menyesuaikan diri
Ayimbila ketika beraksi menyarung jersi Selangor 2 pada musim 2021. — Facebook/SelangorFC
Sukar untuk menyesuaikan diri antara perkara yang membimbangkan penyokong kerana jika pemain baharu mengambil masa lama untuk berasa selesa dengan kelab berkenaan, ia akan memberi bebanan untuk rakan sepasukan mewujudkan keserasian.
Namun kebimbangan berkenaan tidak akan berlaku kepada Ayimbila kerana pengalamannya yang pernah beraksi untuk Selangor FC pada musim 2021 dan pastinya tidak memerlukan manual untuk memahami suasana bermain di Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun pada awalnya, Ayimbila direkrut untuk pasukan Selangor FC 2 namun kebolehannya menarik minat ketua jurulatih Gergasi Merah ketika itu, Michael Feichtenbeiner yang memberinya peluang bermain di skuad utama.
Ayimbila diberi kesempatan beraksi dalam 24 perlawanan bersama pasukan utama dan dia berpeluang menyumbang satu bantuan gol meskipun bergelar sebagai pemain pertahanan.
3) Sejarah kecederaan
Ayimbila diberi kesempatan beraksi dalam 14 aksi bersama Las Vegas Lights FC. — Agensi
Siapa sangka tidak mempunyai sejarah kecederaan boleh menjadi kelebihan pemain yang kini beraksi bersama pasukan divisyen dua Amerika Syarikat, Las Vegas Lights FC berkenaan untuk diterima sebagai sebahagian keluarga Selangor FC.
Kecergasan Ayimbila boleh membantu Selangor untuk beraksi di banyak kejohanan terutamanya jika mereka melayakkan diri ke kejohanan ACL II pada musim depan, selain untuk pertandingan di saingan domestik.
Sekiranya pemain bekas pemain San Antonio FC itu berhasil direkrut Selangor, Ayimbila berpeluang cerah berkongsi posisi dengan Fazly Mazlan yang kini banyak menjalankan tanggungjawab sebagai bek kiri Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram